suria

Lelaki cedera parah ditikam kerana dituduh ganggu isteri orang

KUANTAN: Seorang lelaki cedera parah akibat ditikam dengan senjata tajam dalam satu pergaduhan di sebuah perkarangan hotel di Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 24 tahun itu sedang duduk di kawasan perkarangan hotel berkenaan pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Beliau berkata mangsa dihampiri seorang lelaki yang sedang marah dengan menuduh mangsa sering mengganggu isterinya.

"Mangsa menafikan perkara itu menyebabkan berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek, suspek kemudiannya mengeluarkan senjata tajam menikam bahagian bawah ketiak kanan mangsa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mangsa yang cedera dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Genting Highlands untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini keadaan mangsa dilaporkan stabil. Kami sedang mengesan suspek terbabit bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes itu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain