suria

Ketua Wanita Shahrizat cabar Rafidah terima sokongan terbuka

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan beliau akan bertanding mencabar ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Dalam reaksi segera beberapa ketua Umno Wanita bahagian menyatakan sokongan ke atas keputusan Shahrizat itu.

Terdahulu, Shahrizat, bekas anggota Kabinet dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, melalui kenyataan dua perenggan mengesahkan beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan itu.

"Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas tentang keputusan Shahrizat itu memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan esok.

"Kenyataan saya esok," katanya menerusi jawapan SMS yang dikirim kepada mStar Online.

Keputusan beliau itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat Jun depan.

Denagan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, pengumuman Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno mendapat sokongan terbuka daripada beberapa ketua wanita bahagian.

Di JOHOR BAHARU, timbalan ketua wanita Johor Senator Sharifah Azizah Syed Zain berkata kirakira 80 peratus daripada 26 ketua wanita Umno bahagian di negeri itu menyokong pendirian Shahrizat.

"Percayalah ada ramai ketua wanita Umno bahagian di Johor yang hanya kulitnya Tan Sri Rafidah Aziz, tetapi isinya lebih daripada 80 peratus menyokong Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil," kata ketua wanita bahagian Kluang itu.

Di IPOH, anggota exco wanita Umno Datuk Khamsiyah Yeop berkata keputusan Shahrizat untuk bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu adalah tepat dan mengikut kehendak akar umbi.

Beliau berkata bagaimanapun, anggota wanita masih menaruh harapan agar Rafidah membuat keputusan mempercepatkan peralihan kuasa itu dari Jun ke Mac depan agar jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

"Kami masih menaruh harapan supaya (Tan Sri) Rafidah membuat keputusan terbaik, itu lebih cantik kerana selama ini suasana politik Wanita disanjung oleh semua sayap parti kerana memberi satu contoh terbaik dengan mencapai keputusan yang kolektif," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jika Rafidah bersetuju dengan permintaan akar umbi supaya peralihan itu dipercepat, segala pertikaian dan masalah akan selesai.

Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata walaupun Shahrizat mengumumkan untuk bertanding, anggota akar umbi sangat berharap pertandingan bagi jawatan tertinggi sayap parti itu tidak berlaku.

Beliau berkata, pada dasarnya semua anggota wanita bersetuju peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dilakukan, cuma mahu ia disegerakan.

"Wanita Umno Perak sebenarnya sangat sayang dan hormat kepada Rafidah. Beliau memang mahu menyerahkan kepada Shahrizat.

"Jadi, kami hanya mahu beliau pertimbangkan semula (supaya dipercepatkan). Kami merayu supaya beliau memikirkan perasaan orang lain (akar umbi)," katanya.

Di ALOR STAR, 12 daripada 15 Ketua wanita Umno bahagian di Kedah berikrar menyokong Shahrizat merebut jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Penerangan Wanita Umno Kedah, Noorhasnita Mat Isa berkata, ketua wanita Umno bahagian yang menyokong Shahrizat ialah dari Padang Terap, Kuala Kedah, Kubang Pasu, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Sungai Petani, Jerlun, Baling, Langkawi, Sik, Padang Serai dan Pendang.

"Hanya Wanita bahagian Jerai, Pokok Sena dan Alor Star belum membuat keputusan mereka," katanya.

Noorhasnita, yang juga ketua wanita bahagian Kuala Kedah berkata kenyataan ketua wanita Umno Kedah Datin Salmah Mat Isa kononnya semua wanita Umno di Kedah sebulat suara menyokong Rafidah sebenarnya pendapat peribadi beliau sahaja.

Beliau berkata ketuaketua wanita Umno di negeri ini tidak pernah diajak berbincang dan mereka terkejut dengan kenyataan Salmah itu.

Noorhasnita berkata walaupun beberapa wanita Umno bahagian memberi pencalonan kepada Rafidah, mereka kini beralih menyokong Sharizat berdasarkan tiga alasan utama.

Antara alasan itu ialah sudah tiba masanya Rafidah melepaskan jawatan kerana telah terlalu lama memegangnya dan peralihan kuasa selama tiga bulan selepas pemilihan Umno dilihat tidak releven, katanya.

Kamilia sebelum ini telah berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno pada minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.

Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku Ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Sebilangan Wanita bahagian juga mula bersuara menolak peralihan kuasa tersebut dan menyifatkan ia bukan kehendak akar umbi.

Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.

Sementara bagi jawatan Naib Ketua pula, Shahrizat menerima 113 pencalonan dan Kamilia 54 pencalonan.

Rafidah telah menerajui Wanita Umno selama 20 tahun sejak 1984 kecuali untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan 1996.

Bagaimanapun, beliau memenangi semula jawatan itu daripada Dr Siti Zaharah pada pemilihan 2000.

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain