Anwar fail usul minta Dewan Rakyat bahas isu FDI - Semasa | mStar

Anwar fail usul minta Dewan Rakyat bahas isu FDI

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan usul bagi menangguhkan persidangan Dewan Rakyat bagi membincangkan mengenai laporan terbaru United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008 mengenai pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI).

Usul tersebut telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin MUlia pada Rabu lalu.

"Dalam laporan terbaru tersebut, didapati Malaysia walaupun meningkat kemasukan FDI kepada RM29 billion untuk tahun 2007 berbanding RM21 billion pada tahun 2006, namun pengaliran keluar FDI secara besar-besaran mencecah RM38 billion pada tahun 2007 menyebabkan Negara mengalami aliran bersih FDI yang negatif sebanyak RM9 billion.

"Usul tersebut perlu dibahas segera kerana ianya menyentuh kepentingan umum dan negara ini," katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blobnya.

Tambah beliau lagi, fenomena pengaliran keluar FDI secara besar-besaran ini berlaku sejak 2005 dan jika berterusan akan mengakibatkan negara terus mengalami penguncupan ekonomi, kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran dan pengurangan peluang pekerjaan.

Jelas beliau situasi tersebut akan lebih buruk dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis kewangan global.

Bagaimanapun jawapan kepada usul tersebut hanya akan diketahui pada Isnin depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain