suria

Shahrizat umum tanding Ketua Wanita Umno hari ini

PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan mengumumkan keputusannya hari ini sama ada akan bertanding jawatan Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Menurut setiausaha akhbarnya, Eikmar Rizal Ripin, Shahrizat akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusannya itu selewat-lewatnya petang ini.

Keputusan yang bakal diumumkan Shahrizat itu nanti sekaligus akan melenyapkan tanda tanya sama ada calon bagi jawatan Ketua Wanita itu akan mencabar ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz.

Jika beliau memutuskan hasrat untuk bertanding, ia sekaligus akan melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat pada Jun depan.

Menurut laporan Bernama pada Selasa lalu, sumber-sumber memberitahu Shahrizat berpendapat bertanding jawatan itu adalah keputusan yang terbaik baginya memandangkan Rafidah tetap bertegas untuk melepaskannya hanya pada Jun dan menolak desakan dari banyak pihak dalam parti supaya peralihan kuasa Wanita Umno diselaraskan dengan pelan peralihan Umno induk iaitu pada Mac.

Pada Mac, Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan kedua-dua jawatan itu kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber-sumber itu berkata Shahrizat juga didorong oleh keputusan anggota exco Wanita Datuk Kamilia Ibrahim untuk bertanding jawatan Naib Ketua yang disandang Shahrizat sekarang.

Kamilia berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno.

Menurut sumber-sumber itu lagi, telah memberitahu keputusannya kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.

Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku Ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.

Bercakap di Tashkent, Uzbekistan kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan menemui pemimpin-pemimpin Wanita Umno sekembalinya beliau ke tanah air daripada lawatan ke dua buah negara Asia Tengah sekarang untuk menyelesaikan isu kepimpinan dalam pergerakan itu.

Artikel Lain