suria

Rosnah tetap tanding Ketua Puteri Umno

KOTA KINABALU: Naib Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata beliau akan tetap bertanding untuk merebut jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti itu Mac depan.

Beliau berkata komitmen itu berdasarkan jumlah pencalonan yang diterima daripada Puteri bahagian yang selesai bersidang baru-baru ini.

Kenyataan Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar itu sekaligus menafikan desas-desus kononnya beliau akan mengundur diri seperti yang dilapor sebuah akhbar hari ini.

"Apa yang saya maksudkan ialah kompromi di kalangan caloncalon Ketua Puteri sukar dilakukan kerana faktor usia, jumlah calon yang ramai dan jumlah pencalonan yang diterima oleh calon berkenaan.

"Saya cuma bersetuju supaya semua calon duduk bersama berbincang bagaimana mengelak perpecahan dalam melalui pertandingan dan bukannya berkompromi," katanya di sini hari ini.

Rosnah berkata laporan akhbar yang mengaitkan kesedian beliau berkompromi bagi mengelak perpecahan parti telah membawa tafsiran negatif kepada penyokongnya di seluruh negara.

Beliau berkata soal kompromi agak sukar untuk dicapai dalam pergerakan itu pada masa ini berdasarkan keadaan senario politik terkini.

"Saya cuma bersetuju jika ada inisiatif daripada pucuk pimpinan untuk mengajak semua calon duduk berbincang bagi mengelak perpecahan.

"Ini penting bagi memastikan keutuhan parti kerana kita juga bimbang kempen yang melampaui batasan etika dan peraturan parti serta budaya politik wang boleh melemahkan Umno," katanya.

Dalam hal ini, Rosnah berkata semua pihak perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukan kepentingan peribadi.BERNAMA

Artikel Lain