suria

Mahkamah Tinggi tangguh Februari dengar semakan kes liwat Anwar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 5 dan 6 Februari depan berhubung permohonan pendakwa raya untuk semakan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pihak pembelaan diwakili Sulaiman Abdullah memohon supaya Anwar dikecualikan daripada menghadiri sesi berkenaan kerana hanya melibatkan prosedur undang-undang.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut tanpa bantahan pihak pendakwa.

Hakim menetapkan keputusan mendengar semakan tersebut pada Februri depan dengan alasan kesukaran mencari tarikh yang sesuai kerana jadualnya yang padat sehingga penguhujung tahun ini.

Terdahulu, Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mahkamah mula bersidang jam 9.12 pagi.

Anwar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akur dengan keputusan penangguhan tersebut.

"Saya mahu kes ini diselesaikan dengan cepat...tak mahu tangguh-tangguh.

"Jadi strategi mereka berjaya sebab suka tangguh-tangguh," katanya ringkas.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Sesyen S. M. Komathy Suppiah memerintahkan kedua-dua pihak mendapatkan arahan dan perintah daripada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini berhubung permohonan pendakwa raya bagi semakan serta penangguhan semua prosiding sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Ia dijadual didengar hari ini dan esok.

Anwar, 61, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Pada 7 November lalu, Komathy menolak permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan sijil untuk memindahkan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah tidak sah.

Abdul Gani sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah berhubung satu laporan oleh Anwar kononnya Abdul Gani memalsukan keterangan dalam siasatan insiden "mata lebam" semasa Anwar ditahan polis pada 1998.

Pendakwaan memfailkan semakan terhadap keputusan itu pada 10 November atas beberapa alasan antaranya tindakan Abdul Gani menandatangi sijil itu hanyalah sebagai memainkan fungsi tadbir dan bukannya memainkan fungsi kehakiman atau kuasa kehakiman kerana pendakwa raya bukannya menghakimi apa-apa pertikaian di antara pihak-pihak.

Mahkamah Sesyen juga telah menetapkan 14 November lalu bagi sebutan untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tertentu seperti laporan perubatan, kimia dan polis berhubung kes itu kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun ketika mahkamh bersidang minggu lalu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memaklumkan mahkamah bahawa mengikut Seksyen 35(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Tinggi, selepas memohon mana-mana rekod, semua prosiding di mahkamah lebih rendah berhubung perkara itu perlu ditangguhkan sementara menunggu arahan selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi.

Mohamed Yusof berkata ini bermakna semua dokumen yang diperlukan peguam bela Anwar tidak boleh dibekalkan sehingga Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah atau membuat keputusan.

Artikel Lain