suria

Mahkamah benar Sharma Kumari tidak perlu bayar RM18 juta

PUTRAJAYA Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas pembaca berita TV2, RTM, Sharma Kumari Shukla Oam Parkash dan suaminya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM1.8 juta kerana memfitnah ahli perniagaan Abdullah Sani Hashim.

Dalam keputusan majoriti 21, panel Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Gopal Sri Ram, Datuk James Foong dan Datuk Suriyadi Halim Omar membenarkan rayuan pasangan itu dengan kos.

Abdullah Sani memfailkan saman terhadap Sharma Kumari dan suaminya Pardeep Kumar kerana didakwa wanita itu telah mengeluarkan kata-kata berbau fitnah dan palsu terhadapnya kepada dua anggota polis di kawasan Sekolah Rendah Bukit Bandaraya, Jalan Bangkung, Bangsar, di sini, 5 Jan, 1998.

Dalam kenyataan tuntutan, Abdullah Sani berkata Sharma Kumari telah menunjukkan isyarat tangan ke arahnya dan berkata "lelaki itu dan adiknya Datuk Abdullah Hishan Hashim cuba menculik anak lelaki saya."

Pada 2 Mac 2000, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk R.K.Nathan memerintahkan Sharma Kumari membayar ganti rugi RM1 juta dan Pardeep Kumar RM800,000 kepada Abdullah Sani.

Dalam penghakiman setebal 30 muka surat, Nathan berkata kedua-dua defenden mengetahui tidak ada kebenaran dalam dakwaan mereka terhadap penculikan dan tindakan itu merupakan versi komplot.

Atas rayuan dikemukakan, Sri Ram berkata dakwaan ayatayat berbau fitnah yang diperkatakan oleh Abdulah Sani dalam kenyataan tuntutan tidak mengandungi sebarang rujukan terhadapnya.

Beliau juga berkata komplot yang dipastikan oleh Nathan terhadap perayu adalah tidak adil dan oleh itu ia tidak dapat wujud.

Sementara itu, Foong berkata penghakiman Mahkamah Tinggi itu bukan sahaja berat sebelah terhadap perayu tetapi juga obsesinya untuk memberi keputusan tanpa pertimbangan undang-undang.

"Pandangan ini diperkuatkan oleh perintah Mahkamah Tinggi bahawa keduadua perayu telah bersuhabat untuk memfitnah responden apabila ini tidak langsung di beri jawapan balas dalam kenyataan tuntutan," katanya.

Suriyadi, yang memberi penghakiman bertentangan, membenarkan rayuan Pardeep tetapi mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi mengenai liabiliti dan kos terhadap Sharma Kumari.

Pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam Lambert Rasa Ratnam manakala Karpal Singh bertindak bagi Abdullah Sani. BERNAMA

Artikel Lain