suria

Kaukus MP Wanita gesa 30 peratus jawatan sektor awam disegerakan

KUALA LUMPUR: Kaukus ahli Parlimen Wanita menggesa kuota 30 peratus jawatan tertinggi bagi kaum wanita dalam sektor awam dan swasta dilaksanakan dengan segera.

Pengerusinya Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) ketika mengumumkan penubuhan kaukus berkenaan berkata perkara tersebut menjadi salah satu agenda yang akan diberi tumpuan dalam memperjuangkan hak kaum wanita.

"Kita akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia bgai membincangkan mengenai perkara ini.

"Malah tidak ketinggalan kita turut akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat bagi meneliti isu-isu lain yang berkaitan dengan kaum wanita," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelas beliau kaukus berkenaan yang ditubuhkan pada 17 Julai lalu akan mengetengahkan isu-isu utama yang melibatkan wanita termasuk gangguan seksual.

Kaukus berkenaan melibatkan penyertaan kesemua 23 ahli Parlimen wanita dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Malah katanya, kaukus itu turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa di bawahnya yang melibatkan penyertaan ahli Parlimen lelaki.

"Kita juga sebenarnya mencadangkan penglibatan ahli Parlimen lelaki melalui satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Kesaksamaan Gender.

"Penglibatan mereka penting bagi turut serta membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi kaum wanita," katanya.

Ditanya sama ada penubuhan kaukus berkenaan hanya akan menyebabkan pertambahan jumlah pertubuhan wanita sedia ada, beliau berkata mereka mampu memainkan peranan dengan lebih berkesan memandangkan kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen.

"Kita boleh jalinkan kerjasama dengan mereka, malah kita sebagai kumpulan penggubal undang-undang mampu memainkan peranan yang lebih berkesan di Parlimen.

"Kita juga akan bawa suara mereka ke Parlimen dengan lebih baik pada masa-masa akan datang," katanya.

Tambah beliau penyertaan kesemua ahli Parlimen wanita dari kesemua parti-parti politik tanpa menghiraukan fahaman politik membuktikan mereka serius untuk mempertahankan hak-hak kaum wanita.

"Kita bekerjasama tanpa menghiraukan fahaman politik demi memperjuangkan martabat wanita," katanya.

Artikel Lain