suria

Ibrahim Lembut Keluarga suami akan diwajibkan bayar nafkah kepada bekas isteri

KUCHING: Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dipinda untuk membolehkan wanita yang diceraikan mendapat hak tuntutan nafkah wajib daripada keluarga terdekat bekas suami seperti bapa ataupun adik beradik suaminya.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Ibrahim Lembut berkata undangundang keluarga Islam sedia ada tidak menyatakan dengan jelas tanggungjawab seorang suami untuk memberi nafkah wajib kepada isteri ataupun anak setelah bercerai.

"Draf ini akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dan ia dijangka dibuat dalam tempoh masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis JKSM bersama masyarakat peringkat negeri Sarawak di sini hari ini.

Ibrahim berkata jumlah kes membabitkan kegagalan suami membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak memang besar, dan ia bukan sahaja berlaku kepada suami yang tidak mampu untuk memberi nafkah malah juga kepada golongan berada tetapi sengaja tidak mahu memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak.

Beliau berkata sekiranya pindaan undang-undang tersebut diluluskan, ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain melalui pindaan di dewan undang negeri masing-masing. BERNAMA

Artikel Lain