suria

BPA akan terus campur tangan urusan manamana kementerian

KUCHING: Biro Pengaduan Awam (BPA) akan terus campur tangan dalam urusan sesebuah kementerian bagi menyelesaikan masalah rakyat di negara ini walaupun dikritik pelbagai pihak termasuk menteri dan timbalan menteri.

Sambil mempertahankan tindakan sebelum ini yang disifatkan memang di bawah bidang kuasa BPA, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, BPA berhak untuk berbuat demikian sekiranya orang awam terus melaporkan perasaan tidak puas hati mereka berhubung perkhidmatan sesuatu jabatan.

"Para Menteri tidak suka dengan kita kerana kita masuk campur (hal kementerian). Jika anda tidak mahu saya masuk campur, selesaikan masalah. Jangan biar orang awam datang jumpa kami," katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat BPA Negeri Sarawak di Bangunan Bank Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Saravanan mengkritik Murugiah secara terbuka berhubung isu makanan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan isu lif rosak di sebuah kondominium swasta di Sentul, Kuala Lumpur.

Murugiah berkata, BPA akan terus bertindak secara agresif dengan memberi publisiti besarbesaran masalah yang dihadapi oleh orang ramai bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai peranan BPA di dalam sistem perkhidmatan awam negara.

Beliau berkata BPA dengan 270 pegawainya serius untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi orang awam dan bersedia menerima pelbagai aduan yang berkaitan dengan jabatan serta agensi awam dan swasta.

Sebagai langkah meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap BPA, beliau berkata, BPA akan mengadakan kaunter aduan bergerak bersepadu di seluruh negara dengan menghimpunkan jabatan dan agensi kerajaan untuk membuka kaunter perkhidmatan masing-masing.

"Kami mahu selesaikan masalah. Kita mahu rapatkan balik rakyat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita tahu mereka kadangkadang sedih dan kecewa dengan sesuatu kes apabila aduan yang dibuat tetapi tiada tindakan diambil," katanya.

Murugiah berkata BPA Sarawak menerima 243 aduan sehingga semalam melalui pelbagai saluran, termasuk panggilan, emel, faks pada tahun ini dengan 96 peratus kes diselesaikan berbanding 231bagi tempoh yang sama tahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain