suria

Bekas pegawai TM mengaku tidak bersalah beri keterangan bercanggah

KUALA LUMPUR: Bekas ketua perolehan unit TM ServisCo, Badrul Hisham Md Noh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi keterangan bercanggah kepada mahkamah berhubung kes rasuah bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat itu Datuk Ibrahim Md Nasir pada Februari lalu.

Badrul Hisham, 44, didakwa memberi keterangan bercanggah di Mahkamah Sesyen pada 28 Feb lalu, di mana keterangan tersebut didapati tidak selaras dengan pernyataan yang beliau berikan kepada Penolong Penguasa Miswandi Samin daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR), di Cawangan Siasatan Ekonomi, Ibu Pejabat BPR, Putrajaya, pada 26 Mac 2003.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Jenayah 5, Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, 28 Feb lalu.

Badrul Hisham didakwa telah mengemukakan keterangan bercanggah di mahkamah bahawa Ibrahim telah memberikannya sampul surat mengandungi wang untuk dibayar kepada Kamal Amir Kamal Hijjaz, pengurus besar Putrajaya Bumi Holdings Sdn Bhd, bagi tiket penerbangan Ibrahim ke London.

Dalam keterangannya kepada Miswandi pula, Badrul Hisham menyatakan dia tidak pernah diminta dan diberikan wang oleh Ibrahim untuk menolongnya membayar tiket tersebut kepada manamana pihak termasuk kepada Kamal Amir.

Dalam keterangan itu juga Badrul hisham menyatakan dia tidak pernah menerima wang tunai atau cek daripada sesiapapun bagi mewakili Ibrahim bagi tujuan bayaran tiket pemergian ke London tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 19(2) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau keduaduanya jika disabitkan kesalahan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 dan 14 Julai tahun depan untuk perbicaraan. BERNAMA

Artikel Lain