suria

Tujuh ditahan kerana terlibat dalam kes samun

JOHOR BAHRU:Polis menahan tujuh orang termasuk seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang dipercayai terlibat dalam empat kes samun bersenjatakan parang di sekitar bandaraya ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua lelaki dan remaja perempuan yang masih bersekolah itu ditahan dalam satu operasi khas mulai Isnin hingga Jumaat lepas di sekitar Taman Perling, Kangkar Pulai, Nusajaya dan Taman Sri Pulai, di sini.

"Kesemua mereka yang berumur 17 hingga 28 tahun itu dipercayai melakukan samun ke atas mangsa yang baru tiba di rumah ataupun mahu keluar rumah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas enam bilah parang panjang, dua kapak dan dua pisau yang dipercayai digunakan kumpulan itu untuk melakukan kegiatan mereka.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dilapor hilang di Kangkar Pulai, 10 Nov lepas dan sebuah Proton Waja yang dilapor hilang di Pulau Pinang, 4 Nov lepas bersama tujuh telefon bimbit, satu komputer riba dan jam tangan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati empat daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah iaitu merompak, mencuri, pecah rumah dan memiliki dadah.

"Kesemua mereka kini direman sehingga Jumaat ini dan usaha kini diteruskan untuk menahan beberapa aanggota kumpulan ini yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di sekitar Skudai dan Kulai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan 24 lelaki termasuk dua pelajar sekolah dipercayai terlibat dengan lebih 70 kes kecurian motosikal hasil operasi Lejang mulai Jumaat lepas hingga semalam.

Beliau berkata kesemua mereka dengan kebanyakannya adalah penganggur dan pekerja kilang itu ditahan di Tampoi, Kempas, Skudai, Majidee dan Larkin, di sini serta Felda Air Tawar, Kota Tinggi.

Mohd Mokhtar berkata polis menemui tujuh motosikal, lapan rangka bersama tiga enjin dalam operasi itu dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang dicuri itu akan dilerai untuk dijual sebagai alat ganti berharga antara RM300 hingga RM800.

Kesemua mereka berumur 17 hingga 25 tahun itu kini direman sehingga Sabtu ini, katanya. BERNAMA

Artikel Lain