suria

Remaja perempuan antara tiga ditahan kerana disyaki mengedar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan adalah antara tiga yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Cheras dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Batu 11 Cheras petang semalam.

Turut dirampas dalam serbuan itu lima bungkus dadah jenis heroin seberat 9 kilogram yang bernilai RM26,000.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Shakaruddin Che Mood berkata ketigatiga suspek yang tidak bekerja berumur antara 16 dan 23 tahun dan dipercayai aktif mengedar dadah sejak lapan bulan lepas.

"Ketika serbuan dibuat mereka bertiga sedang sibuk membungkus dadah dalam paket kecil. Turut dirampas dua telefon bimbit, dua buku simpanan bank, satu alat pelekat pembungkus plastik dan sebuah kereta Wira.

"Satu bungkus dadah boleh dijadikan 300 paket kecil dan dadah itu dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan Cheras dengan nilai pasaran sekitar RM26,000," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya dekat sini hari ini.

Shakaruddin berkata lelaki yang ditahan dalam serbuan itu mempunyai rekod jenayah bagi kes yang sama pada tahun 2000 dan 2005. Kesemua mereka ditahan reman sehingga 26 Nov bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain