suria

Pegawai pemantau harga tiada kuasa buat tangkapan Shahrir

KUALA LUMPUR: Pegawai pemantau harga dari kalangan graduan yang dilantik Mac lepas hanya bertanggungjawab memantau harga runcit barangan keperluan pengguna setiap hari dan tidak mempunyai kuasa membuat tangkapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, pegawai pemantau harga yang dilantik secara kontrak itu akan menyediakan laporan termasuk laporan harian bagi lapan barang kawalan dan laporan mingguan untuk 75 daripada 350 barangan.

Beliau berkata, maklumat hasil pemantauan itu akan disalur kepada agensi penguatkuasa untuk tindakan selanjutnya, selain digunakan kementerian bagi mengkaji kedudukan serta menyediakan pelan penyaluran atau pengedaran barangan perlu.

"Laporan juga dikemukakan kepada Majlis Ekonomi Negara pada setiap minggu sebagai sumber rujukan bagi merangka strategi dan tindakan mengurangkan inflasi," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian bagi menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang ingin tahu kemajuan operasi Majlis Harga Barang Negara termasuk pelantikan 2,000 graduan sebagai pemantau dan jumlah tangkapan yang dibuat tahun ini.

Shahrir berkata, pemantauan dibuat di 96 pusat pungutan pemantauan yang meliputi pasar basah, pasar kering, pasar raya dan kedai runcit di bandar utama dan daerah termasuk kawasan pedalaman.

"Mereka memantau lapan jenis barangan keperluan utama serta 350 jenis barang lain yang terdiri daripada 127 barangan basah, 223 barangan runcit atau kering dan 20 barangan siap masak," katanya.

Beliau berkata, selain itu mereka juga melakukan pemantauan berkala mengikut masa kawalan yang ditetapkan semasa Skim Kawalan Harga Musim Perayaan pada Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina.

"Laporan harian bagi hypermarket yang mengambil bahagian dalam Kempen Penurunan Harga juga akan dipapar setiap hari di laman web kementerian," katanya. BERNAMA

Artikel Lain