suria

Kerajaan masih beri subsidi minyak kepada pemegang fleet card dan nelayan

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih memberi subsidi minyak kepada pemegang 'fleet card' (yang digunakan pengangkutan awam seperti lori serta bas besar) dan nelayan bagi subsidi diesel, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha.

Katanya, kerajaan menggunakan kaedah mekanisma harga automatik (APM) untuk menentukan harga runcit petrol dan diesel, di mana harga minyak mentah dipantau secara harian dan purata harga akan digunakan untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel di stesen.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Dr Haji Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) pada sesi soal jawap di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, yang bertanya mengenai harga petrol dan diesel yang sedia diturunkan kerajaan berikutan penurunan harga minyak mentah dunia sekarang.

Pada awal tahun 2008, harga minyak telah meningkat sehingga pada pertengahan tahun 2008, harga minyak dunia mencecah paras AS$140 setong.

"Berdasarkan trend harga yang meningkat secara mendadak ini, kerajaan telah menaikkan harga runcit petrol dan diesel pada 5 Jun, 2008," katanya.

Bagaimana pun, menurut Kong, pada Ogos 2008, harga minyak dunia telah berubah dan menunjukkan penurunan dan trend itu berterusan.

"Selaras dengan penurunan ini, kerajaan pada masa yang sama telah mengkaji semula dan menurunkan harga runcit petrol dan diesel," katanya sambil menyatakan kerajaan telah empat kali menurunkan harga petrol dan diesel sejak tempoh dua bulan lepas. BERNAMA

Artikel Lain