suria

Hukuman penajara 20 tahun peniaga bagi kesalahan sumbang mahram dikekalkan

ALOR STAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan yang diputuskan terhadap seorang peniaga kerana melakukan empat kesalahan sumbang mahram dengan anak saudaranya pada 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman Zamani Abdul Rahim semasa menolak rayuan peniaga berumur 38 tahun itu berkata Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani tidak membuat kesilapan ketika menjatuhkan hukuman itu.

"Awak bernasib baik kerana hakim memerintahkan supaya hukuman berjalan serentak dan tidak berasingan dan saya tidak akan campur keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani," katanya.

Lelaki itu dihukum penjara 18 tahun, masingmasing terhadap dua pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak saudaranya yang berumur 17 tahun di Taman Mutiara Indah, Sungai Petani pada 25 Mei, 2004 dan di Taman Sri Tanjung pada 5 Jun tahun yang sama.

Dia juga dihukum penjara 20 tahun dan sebanyak 12 sebatan kerana melakukan kesalahan yang sama di tempat yang sama pada 19 Jun dan 29 Jun, 2004. Semua hukuman itu diperintah berjalan serentak.

Zamani berkata selepas meneliti fakta, beliau sependapat dengan Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subhi bahawa tertuduh adalah adik tiri kepada emak mangsa dan walaupun berlainan bapa, pertalian darah antara mereka adalah kuat.

Pendapat pihak pembelaan bahawa perkataan "tiri" membawa makna tiada pertalian darah supaya pertuduhan dipinda kepada bukan sumbang mahram tidak boleh diterima," katanya.

Peniaga itu diwakili peguam C. Shamugiah. BERNAMA

Artikel Lain