suria

RM13 bilion urus pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara

KUALA LUMPUR: Kira-kira RM1.3 bilion digunakan untuk membiayai kos operasi 105 pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara sejak 2004 hingga Jun tahun ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata seramai 440 pegawai dan kakitangan kementerian itu berkhidmat di kesemua pejabat perwakilan berkenaan sehingga bulan lepas.

Daripada jumlah itu, 17 orang pegawai adalah daripada kumpulan Pengurusan Tertinggi, 143 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional dan 269 kakitangan kumpulan sokongan, manakala jumlah kakitangan ambilan tempatan (KAT) adalah seramai 1,350 orang, katanya dalam jawapan bertulis kepada Teo Nie Ching (DAP-Serdang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, katanya, sejumlah 421 orang pegawai dan kakitangan sokongan daripada 19 kementerian dan agensi kerajaan antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Jabatan Imigresen Malaysia turut sama berkhidmat di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad sekali lagi menjelaskan bahawa kementerian masih berada dalam fasa terakhir merangka draf Rang Undang-Undang Amalan Perdagangan Adil.

Rang undang-undang itu dirangka bagi mengelak ketidakberkesanan pasaran yang telah menyebabkan wujudnya aktiviti monopoli, oligopoli dan pelbagai jenis kartel dan juga amalan perdagangan yang tidak adil yang seterusnya dapat memudaratkan pengguna, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang). BERNAMA

Artikel Lain