suria

Penyatuan kuasa mahkamah sivil syariah Golongan bukan Islam tidak perlu risau

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata beliau akan cuba mencari jalan penyelesaian berhubung undang-undang sivil dan syariah bagi mengelakkan konflik dan timbulnya salah faham antara kedua-duanya.

"Kami tidak mahu timbulnya konflik di antara kedua-dua (sivil dan syariah)undang-undang ini.

"Jalan penyelesaian mengenai perkara tersebut perlu disegerakan kerana pada masa akan datang akan wujud lebih banyak kes berkaitan undang-undang syariah akan didengar di mahkamah sivil," katanya ketika berucap dalam seminar antarabangsa mengenai undang-undang perbandingan anjuran Universiti Sains Islam Malaysia di sini hari ini,

Dalam ucapannya, Zaki memetik satu kes yang didengar oleh Mahkamah Persekutuan dua bulan lepas mengenai enakmen Jenayah Syariah Negeri yang dihujahkan oleh peguam sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pendakwaan mengikut enakmen Syariah Terengganu terhadap Sulaiman Takrib, anggota kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang mencabar pendakwaan ke atasnya, merupakan undang-undang yang sah.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib bulan lepas dalam penghakimannya mendapati bahawa badan perundangan negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan dan hukuman bagi kesalahan terhadap orang yang mengaku beragama Islam dan bagi kesalahan tidak mengikut ajaran Islam.

Sulaiman, 59, telah mencabar kesahihan daripada segi perlembagaan Seksyen 10 dan 14 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Penalti Budi Bicara) (Terengganu) 2001 dan Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.

Sulaiman didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Besut bagi pertuduhan menghina pihak berkuasa agama kerana enggan mematuhi fatwa bahawa ajaran yang dibawa oleh Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 65, adalah palsu dan sesat yang boleh mengancam ketenteraman awam dan merosakkan iman orang Islam.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Datuk Ibrahim Lembut berkata, usaha menyatukan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah adalah penting bagi mengharmonikan kedua-duanya yang ketika ini berlaku pertikaian dan pertindihan kes.

Tegasnya, jika usaha tersebut menjadi kenyataan, golongan bukan Islam tidak perlu bimbang tentang hak mereka.

Ditanya adakah penyatuan kedua-dua bidang kuasa itu akan mengabaikan hak golongan bukan Islam, Ibrahim berkata:

“Macam mana kita hendak kata ia (penyatuan sivil dan syariah) mengabaikan hak bukan Islam sedangkan Islam membela semua bangsa dan agama. Anggapan inilah yang perlu kita harmonikan.”

“Penyatuan ini bukan untuk mendiskriminasi mana-mana pihak sebaliknya membela kepentingan semua dengan seadil-adilnya katanya.

Jelasnya lagi, apa jua perkara yang bersesuaian dengan undang-undang sivil dan syariah tidak kira sama ada dari sudut prosiding dan perundangan akan digunapakai dalam usaha mengharmonikan bidang kuasa kedua-dua bidang kuasa kehakiman tersebut

Ditanya bila perkara tersebut akan diwartakan sebagai undang-undang, Ibrahim berkata:

"Perkara tersebut masih jauh lagi. Apa yang sedang kita buat sekarang adalah cuba mengharmonikan kedua-duanya (sivil dan syariah) dan usaha ke arahnya sedang dijalankan.”

Artikel Lain