suria

Najib Ketiadaan PM dan TPM di dalam negara secara serentak tidak dapat dielakkan

PETALING JAYA: Pemergian perdana menteri dan timbalan perdana ke luar negara atas urusan rasmi secara serentak boleh dianggap luar biasa tetapi ia tidak dapat dielakkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia juga membuktikan kerajaan dan negara berada dalam keadaan stabil.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini melakukan lawatan rasmi ke Uzbekistan dan Turkmenistan dan dijadual pulang Jumaat ini sementara Najib akan berlepas ke London malam ini dalam penerbangan ke Lima, Peru bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada hujung minggu ini.

Timbalan perdana menteri berkata beliau dan perdana menteri akan sentiasa berhubung rapat dengan menteri-menteri kabinet dan pegawai tinggi kerajaan semasa berada di luar negara.

Najib memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Persidangan Air Rantau Asia Pasifik 2008 di sini hari ini.

Mengenai Apec, beliau berkata beliau akan menghadiri dua sesi, satu mengenai krisis ekonomi global dan bagaimana negaranegara boleh bertindak secara bersama bagi mengurangkan impak krisis berkenaan serta mencari jalan penyelesaian jangka pendek.

"Perkara lain ialah mengenai keselamatan makanan, alam sekiar dan isu seumpamanya," katanya.

Mengenai isu lain, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bahawa kerajaan sedang berbincang kemungkinan pengambilalihan Syabas Berhad oleh kerajaan negeri Selangor.

"Kita akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja perbincangan tamat ... jika tidak tahun ini, tahun depan," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain