suria

Kerajaan akan bincang harga lantai petrol

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membincangkan untuk menetapkan harga lantai bagi petrol sama ada akan kembali kepada harga asal sebelum ini pada RM1.92 seliter atau boleh diturunkan lagi jika harga minyak mentah dunia terus menurun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan juga perlu memutuskan sama ada perlu mengambil pendapatan daripada penjimatan subsidi minyak jika trend penurunan harga terus berlaku.

"Selama ini, mengikut maklumat yang diberikan, kita telah beri subsidi (petrol) daripada tahun 2003. Hanya beberapa bulan sahaja sebelum itu, kerajaan telah mengambil pendapatan menerusi harga petrol iaitu daripada Oktober 2001 hingga Februari 2002.

"Ketika itu, memang dapat pendapatan, petrol minimum. Sejak Februari, tidak ada lagi pendapatan (yang didapati kerajaan) kerana seterusnya kita beri subsidi," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Shahrir berkata, hal itu akan dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Ekonomi Negara yang akan diadakan dalam bulan ini.

Shahrir berkata, beliau menjangka, kerajaan akan dapat menjimatkan RM10 bilion dari segi penjimatan subsidi jika harga minyak turun di bawah paras USD60 setong.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengapungkan harga minyak, Shahrir berkata, ada banyak mekanisme untuk mengapungkan harga minyak.

"Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kerajaan mempunyai mekanisme penetapan harga secara automatik di mana margin dan kadar pulangan kepada pengusaha stesen minyak adalah 12.19 sen seliter bagi RON 97 dan RON 92 dan kadar yang tetap bagi diesel.

"Bagi syarikat minyak, mereka juga dibayar pada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.54 sen.Apa pun harganya, kadar keuntungan ini dipenuhi dulu oleh pengusaha stesen minyak dan pengeluar minyak. Ia tidak berubah mengikut harga runcit," katanya.

Shahrir berkata, berlaku penjimatan dari segi jumlah subsidi bagi petrol dan diesel yang diberikan kerajaan pada Oktober lalu adalah RM610 juta berbanding RM1,333 pada bulan sebelumnya.

Katanya, ketika kerajaan membuat penyelarasan harga minyak apabila harga minyak mentah dunia di bawa USD65 setong, penjimatan yang didapati adalah 30 sen seliter.

"Dalam bulan November ni, saya jangka bahawa, ia (subsidi) akan turun di bawah paras RM600 juta, bermakna pengurangan subsidi akan berlaku apabila harga minyak mentah turun.

"Subsisdi ini termasuk kepada LPD iaitu RM2 juta sebulan dan bagi diesel yang juga akan terus menerus paras yang tinggi kerana kerajan tetap akan beri subsidi pada pengusaha pengangkutan awam dan barang.

Shahrir berkata, jika paras harga minyak mentah yang ada pada hari ini berada di bawah USD60 setong, kerajaan mungkin akan mendapat pulangan dari segi cukai.

"Bagaimanapun, ia bergantung pada dasar yang hendak diputuskan Majlis Eknomi sama ada berada di paras terendah atau meneruskan penurunannya," katanya.

Selepas turun sebanyak 15 sen pada awal bulan ini - buat kali kelima, harga minyak turun lagi mulai hari ini.

Harga petrol RON 97, RON92 dan diesel turun sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

Harga runcit untuk petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.00 seliter daripada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan 15 sen kepada RM1.90 sen seliter dan harga diesel dikurangkan 15 sen seliter kepada RM1.90 seliter.

Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Ia merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Artikel Lain