suria

Karpal gesa Ketua Hakim Negara letak jawatan

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menggesa Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi supaya meletak jawatan secara terhormat dalam masa tujuh hari berkuat kuasa hari ini.

Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau membuat gesaan tersebut atas kapasiti Pengerusi Kaukus Integriti dan Kebebasan Kehakiman, berikutan kenyataan Zaki dalam satu persidangan integriti di Kuching pada 7 November lalu bahawa beliau pernah memberi rasuah

"Tiada ada keraguan lagi yang Tan Sri Zaki berkata perkara berikut : 'Ia mengambil masa enam bulan untuk menjadi baik, merasuah setiap individu supaya diterima semula sebelum fail-fail kami dilihat semula. Itu adalah adalah pengalaman peribadi saya, dan saya memberitahu perkara ini kepada semua kerani dan pendaftar supaya menghentikan perkara karut ini'.

"Tan Sri Zaki tidak boleh dan tidak seharusnya menafikan yang beliau telah mengungkap perkara itu," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Karpal berkata, beliau mempunyai rakaman audio berhubung apa yang dikatakan Zaki itu namun enggan memberitahu daripada rakaman tersebut diperolehi.

Karpal berkata, penjelasan Zaki berhubung isu tersebut yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris juga adalah satu pembohongan yang mencerminkan kekurangan integriti dirinya.

"Dalam memberikan kenyataan itu, beliau (Zaki) telah mengelirukan seluruh negara. Justeru, beliau bukanlah orang yang layak memegang jawatan Ketua Hakim yang telah memalukan institusi kehakiman," katanya.

Karpal berkata, jika Zaki tidak meletak jawatan dalam tempoh yang diminta, beliau tidak ada alternatif lain selain membuat usul terhadap Zaki di bawah Artikel 127, Perlembagaan Persekutuan kerana telah mengelirukan negara dengan apa yang dipanggil Zaki sebagai penjelasan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 8 November lalu menyiarkan sebuah artikel berhubung pengakuan Azmi yang pernah menghadapi masalah korupsi di dalam mahkamah.

Pada hari berikutnya, Zaki membuat penjelasan dalam akhbar yang sama bahawa apa yang dikatakan beliau telah disalah tafsir oleh wartawan akhbar terbabit dan beliau tidak pernah memberi atau menerima rasuah.

Sementara itu, Karpal turut meminta Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) supaya menyerahkan nama ahli-ahlinya yang berminat untuk menyertai kaukus kehakiman.

Beliau berkata, kenyataan Pengerusi BNBBC bahawa hanya jawatan timbalan pengerusi kaukus dibuka kepada BN adalah salah.

"Pakatan Rakyat mempunyai 81 ahli dalam Parlimen. Hanya 55 tandatangan ahli Parlimen yang diperlukan bagi membentuk satu perempat daripada ahli Parlimen untuk membuat usul berhubung kelakuan seorang hakim di bawah artikel 127," katanya.

Pada Khamis lalu, Karpal telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Zaki di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Dalam laporannya, Karpal menggesa pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan satu siasatan lengkap di bawa Akta Pencegahan Rasuah 1961 berhubung kenyataan yang dibuat Zaki.

Karpal memfailkan laporan polis tersebut setelah usulnya supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Zaki itu ditolak buat kali kedua pada hari sebelumnya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.

Artikel Lain