suria

Idris digesa buat pendirian berhubung isu bekas Naib Canselor UM

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini meminta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun membuat pendirian sama ada mempertahankan sindiran terhadap bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim atau meminta maaf atas kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat itu.

Lim berkata demikian merujuk kepada kenyataan Idris bahawa UM memerlukan seseorang yang mempunyai tahap prestasi yang tinggi yang boleh meningkatkan status universiti tersebut dan Naib Cancelor UM yang baru dilantik, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon mempunyai pengalaman dalam universiti awam.

"Idris harus mempertahankan sindiran yang dilakukan terhadap Datuk Rafiah Salim dalam Parlimen bahawa bekas Naib Canselor UM itu kurang "tahap prestasi tinggi" atau meminta maaf atas kenyataan itu," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pada tahun lalu berada pada kedudukan 309 kini pada kedudukan 250 dan UM pula kini berada pada kedudukan 230 berbanding 246 tahun lalu.

Katanya, untuk dua tahun berturut-turut, tiada universiti dari Malaysia yang berjaya berada dalam senarai 'THES-QS Top 200 Universities' dan turut tidak tersenarai dalam 'Top 100 Universities' dalam lima subjek termasuk Sains Tulen, Sains Sosial, Seni dan Kemanusiaan, Sains Hayat dan Teknologi.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila Universiti Sains Malaysia (USM) yang berada pada kedudukan 313 dinamakan sebagai Universiti Apex oleh kerajaan sedangkan ia jauh ketinggalan di Asia Tenggara berbanding Singapura melalui National University of Singapore (kedudukan 30) dan Nanyang Technological University (77) tetapi juga oleh Thailand melalui Chulalongkorn University (166); Indonesia melalui University of Indonesia (287) dan Filipina melalui Ateneo de Manila University (254) dan Universiti of the Philippines (276) Universiti of the Philippines (276).

"Sehingga tahun lalu, universiti-universiti Malaysia berada pada kedudukan lebih tinggi daripada universiti Indonesia, tetapi pada tahun ini, Indonesia telah mengatasi universiti Malaysia," katanya.

Artikel Lain