suria

Guantanamao Obama ubah pendirian Malaysia harap bawa pulang 2 rakyat

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap dapat membawa pulang dua rakyatnya yang ditahan di Pusat Tahanan Guantanamo apabila Barack Obama mengambil alih pentadbiran Amerika Syarikat, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kementeriannya sudah lama mendesak kerajaan Amerika supaya membenarkan Malaysia mengambil tindakan domestik terhadap keduadua tahanan tersebut, yang disyaki pengganas, tetapi sehingga kini desakan itu tidak diendahkan.

"Mereka tidak didakwa atas sebarang tuduhan dan ini lebih teruk daripada ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," katanya selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2008 di sini hari ini.

Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan penulis skrip, Prof Hatta Azad Khan menerima anugerah tersebut daripada pihak penganjur di Bangkok, Thailand, Ogos lepas.

Sebelum ini, Washington mendakwa Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep dipilih oleh pemimpin Jemaah Islamiah, Hambali, untuk menjadi penyerang berani mati yang mensasarkan Los Angeles.

Mengenai Thaksin Shinawatra, Rais berkata bekas Perdana Menteri Thailand itu tidak tergolong sebagai pelarian, oleh itu tiada sebab mengapa beliau tidak boleh memasuki Malaysia.

Katanya jika soal status pelarian ditimbulkan, kerajaan akan merujuk kepada Konvensyen Geneva berhubung orang pelarian sebelum sebarang tindakan diambil.

Rais juga berkata Kementerian Luar akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memperkenalkan karya sastera tempatan di peringkat antarabangsa.

"Kita ada 104 kedutaan Malaysia di seluruh dunia yang boleh membantu menyerlahkan karyakarya sastera Melayu di peringkat antarabangsa," katanya. BERNAMA

Artikel Lain