suria

Suami isteri maut anak cedera parah di Taiping

IPOH: Sepasang suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera parah apabila kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di satu persimpangan di Km 20 Jalan Ipoh-Butterworh di Changkat Jering, Taiping hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Syed Abdul Wahab Syed Abdul Majid berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian 10 pagi itu ialah pemandu kereta W. Singaram, 55 dan isterinya T. Mogeswaran, 48.

Anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Taiping, katanya ketika dihubungi di sini.

Syed Abdul Wahab berkata ketika kejadian, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Taiping ke rumah mereka di Taman Malar, Ulu Kinta, Ipoh.

Beliau berkata Singaram dipercayai tidak sempat memberhentikan keretanya apabila lori di hadapan berhenti di persimpangan berkenaan kerana lampu isyarat bertukar merah.

"Akibat kejadian itu kereta Nissan Sunny yang dinaiki mereka terperosok di bawah belakang lori berkenaan dan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya.

Syed Abdul Wahab berkata anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat pasangan itu dan juga anak mereka yang tersepit di dalam kereta yang remuk.

Pemandu lori berkenan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain