suria

Pemandu teksi dibunuh kejam

SUNGAI BULOH: Seorang pemandu teksi ditemui mati dengan 10 kesan tikaman di badan dan empat kesan kelar di leher dalam kawasan semak berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Jaras, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Mohd Shukor Sulong berkata mangsa yang dikenali sebagai Wong Kam Wah, 37, ditemui kira-kira 15 meter dari teksinya yang diletakkan di tepi jalan.

"Kita terima panggilan dari seorang penduduk kampung pada pukul 11 pagi mengenai teksi yang tersadai di tepi jalan berhampiran semak dekat tanah perkuburan ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Shukor berkata hasil pemeriksaan di kawasan sekitar polis menemui mayat mangsa yang lengkap berpakaian kemeja T coklat dan berseluar hitam dalam semak.

"Mangsa dipercayai diseret sejauh 15 meter sebelum dibunuh. Terdapat enam kesan tikaman di dada, empat di belakang dan empat kesan kelar di leher mangsa," katanya. Beliau berkata polis menemui RM17 di dalam poket seluar mangsa, namun tidak menjumpai dompet mangsa.

Katanya kejadian dipercayai berlaku lewat tengah malam tadi dan percaya mangsa diserang lebih daripada seorang. "Kita tidak menjumpai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa tetapi kita ada menjumpai tali berhampiran mayat mangsa dan kita sedang siasat motif sebenar pembunuhan. Kita percaya tiada unsur-unsur samun, mungkin bermotifkan dendam," katanya.

Mayat Wong dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang saksi Azlan Ishak, 32, berkata ketika melalui jalan itu untuk ke kebun, beliau terlihat teksi tersebut yang diletakkan di tepi jalan tanpa pemandu.

"Saya ingat pemandunya sedang berehat di luar kerana kawasan berhampiran tanah perkuburan ini kerap dijadikan tempat untuk beristirehat," katanya.

Beliau mendakwa ada seorang penduduk kampung memaklumkan padanya terlihat dua lelaki dan seorang wanita keluar dari kawasan itu dengan berjalan kaki tengah malam tadi. BERNAMA

Artikel Lain