suria

Najib umum peruntukan RM1282 juta untuk Felda

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM128.2 juta kepada Felda untuk tahun 2009 yang merangkumi antara lain aspek latihan kemahiran, pendidikan dan keusahawanan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sejumlah RM35 juta akan diperuntukkan bagi latihan kemahiran untuk membolehkan kira-kira 5,000 belia Felda berpeluang memperolehi kemahiran tertentu.

"Peruntukan tersebut antaranya adalah untuk 4,300 peserta Sijil Kemahiran Malaysia di beberapa institut kemahiran termasuklah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Pusat Giat Mara," ujar Najib pada majlis Anugerah Belia Felda Malaysia 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Saifudin Abdullah.

Menurut beliau lagi, kerajaan juga akan memperuntukkan RM17 juta bagi tujuan pembiayaan belia-belia yang cemerlang di dalam pendidikan.

"Peruntukan ini adalah untuk membiaya seramai 36 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di universiti-universiti luar negara termasuklah dua orang di United World College di Wales.

"Seramai 69 pelajar juga sedang mengikuti pengajian A-Level di institusi-institusi tempatan dan pada tahun depan, Felda akan menambah lagi seramai 20 belia cemerlang untuk menyambung pelajaran ke peringkat A-Level ini," katanya.

Selain itu, sebanyak RM540 ribu akan diperuntukkan bagi membina jatidiri generasi muda menerusi beberapa program seperti Kursus Imam Muda, Kem Bina Remaja dan Belia Benci Dadah.

Ujar Najib lagi, bagi meneruskan usaha pengupayaan persatuan-persatuan belia, sebanyak RM450 ribu akan diberikan manakala sejumlah RM200 ribu pula akan diperuntukkan bagi program Tunas Mekar yang diwujudkan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA untuk membina golongan usahawan di kalangan bekas graduan Felda.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan RM65 juta untuk pelaksanaan projek perumahan di bawah skim Perumahan Warga Felda (PWF) yang akan dilaksanakan di Felda Pasak, Felda Jengka 11 dan Felda Triang 3.

Beberapa insentif menarik juga turut diperkenalkan bagi menangani kebanjiran pekerja-pekerja asing di tanah-tanah rancangan dan sekaligus menggalakkan golongan belia agar bekerja di ladang rancangan masing-masing.

Antara insentif itu ialah elaun pengangkutan, elaun penempatan dan keutamaan mendapatkan rumah menerusi Program PWF.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, RM10 juta akan disuntikkan pada Program Edible Garden Felda bagi meningkatkan penggunaan tanah-tanah di sekitar rumah peneroka sedia ada serta penghasilan sayur-sayuran yang boleh menambahkan pendapatan.

"Program ini mengambil pendekatan produktif dan dekoratif, iaitu penghasilan sayur-sayuran dalam hiasan yang cantik. Hasilnya, peneroka dapat menambah pendapatan dan jimat perbelanjaan.

"Saya difahamkan, FAMA akan membeli hasil sayuran untuk dipasarkan seterusnya. Usaha ini akan mewujudkan peluang untuk usahawan di samping menambah lagi sumber pendapatan belia.

"Justeru, saya harap belia dan persatuan-persatuan akan mengambil inisiatif untuk menerajui program Edible Garden ini," katanya.

Artikel Lain