suria

Kumpulan sivik pelbagai etnik penting elak konflik kaum agama

PETALING JAYA: Langkah mewujudkan kumpulan sivik pelbagai etnik amat penting untuk menggalakkan keharmonian dan semangat hidup bersama, kata kata pensyarah ekonomi dan pentadbiran Universiti Malaya.

"Tidak harus ada (mana-mana) usaha untuk membahagi-bahagikan seseorang individu mengikut garis kumpulan," kata Prof. Madya Edmund Terence Gomez, yang baru-baru kembali ke tanah air selepas berkhidmat sebagai Penyelaras Penyelidikan di Institut Penyelidikan Bagi Pembangunan Sosial PBB (UNRISD).

Justeru kata beliau, sebuah negara yang bersatu dan padu hanya boleh dibina jika pemimpin-pemimpin politik mula memahami peralihan yang kompleks dari segi identiti di kalangan sesebuah komuniti, yang sebenarnya berlaku secara berterusan.

Sejarah negara-negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat, Filipina, Myanmar, Singapura, Indonesia, China, New Zealand dan Sri Lanka menunjukkan tentang keperluan tersebut, kata beliau lagi.

Gomez menyatakan demikian dalam buku terbaru disuntingnya, The State, Development and Identity in Multi-Ethnic Societies: Ethnicity, Equity and the Nation.

Malah beliau menarik perhatian bahawa sistem pilihan raya yang menggalakkan kesederhanaan, di samping sedia menerima perbezaan pandangan, boleh membantu sesebuah negara menangani konflik agama dan etnik.

"Satu sistem pilihan raya yang menggalakkan kesederhanaan di samping sedia menerima kelainan (pandangan), sebuah kerajaan yang diketuai oleh ikatan parti-parti yang mewakili kumpulan yang berlainan kepentingan, yang menggalakkan dialog dan mendorong ahli-ahli politik mencapai kompromi, yang kemudiannya memanfaatkan kesemua komuniti, akan muncul sebagai satu bentuk reformasi institusi yang boleh dipertimbangkan untuk menangani konlfik etnik dan agama," katanya.

Tulisannya dalam buku itu menyebut bahawa kajian menunjukkan konflik yang wujud di sesebuah masyarakat ataupun negara bukan disebabkan amalan demokrasi tetapi ia adalah akibat penyalahgunaan lunas tersebut oleh ahli-ahli politik.

Sehubungan itu, usaha memperkenalkan kerajaan autoritarian bukan jawapan kepada masalah tersebut, yang akhirnya turut terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.

"Isu ini memerlukan lebih banyak analisis berkenaan bagaimana mahu mempertahan demonkrasi dan memastikan ahli-ahli politik tidak mengeksploitasikan isu dari sudut perkauman atau agama, selain mengawal amalan-amalan politik dan pendekatan yang boleh meminggirkan komuniti, khususnya etnik minoriti daripada masyarakat arus perdana," kata beliau.

Tambah beliau, negara-negara sedang membangun juga tidak memerlukan sistem autoritarian untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang pantas, yang disaksikan di Myanmar sedang dan ketika era bekas Presiden Ferdinand Marcos di Filipina.

"Dan, pendekatan autoritarian di negara-negara membangun yang terdiri daripada pelbagai etnik bukan satu keperluan kerana diwarisi ketidaksaksamaan dalam pasaran," katanya.

Jelas beliau, memandangkan ketidaksakmaan ekonomi antara kumpulan etnik boleh menyumbang kepada konflik, sesebuah kerajaan tidak boleh mengawal kebebasan awam sehingga kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan dicapai.

"Sebaliknya, ia boleh dijadikan alasan untuk menggerakkan autoritarian dan pemerintahan tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Di UNRISD, Gomez memegang jawatan tersebut kira-kira tiga tahun.

Beliau pernah menghasilkan buku berjudul Malaysia's Political Economy: Politics, Patronage and Profits, Ethic Futures: The State and Identity Politics in Asia dan The State of Malaysia: Ethnic, Equity and Reform serta Politics in Malaysia: The Malay Dimension.

Artikel Lain