suria

Keputusan kes kehakiman Nazri diumum minggu depan

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari berkata, keputusan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung hakim-hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu hanya akan diumumkan minggu depan.

Beliau berkata, ini disebabkan Nazri kini berada di luar negara kerana menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Uzbekistan selama seminggu dan hanya akan pulang pada hujung minggu ini.

“Saya telah membuat keputusan saya berhubung Peraturan Mesyuarat yang dibangkitkan Bukit Gelugor (Karpal Singh) di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) berhubung perbahasan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya sudah bersedia untuk membuat keputusan dan telah siap melakukan penyelidikan saya tapi masalahnya yang Yang Berhormat Menteri masih berada di luar negara mengikut rombongan Perdana Menteri selama satu minggu dan hanya akan balik pada hujung minggu ini,” katanya ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini.

Wan Junaidi berkata, amalan Parlimen di Kanada, India, United Kingdom berhubung Peraturan Mesyuarat yang sama memerlukan kedua-dua pihak hadir di dalam Dewan.

“Saya telah berbincang dengan Setiausaha Dewan...pada minggu depan (akan diputuskan) supaya Padang Rengas (Nazri) dan Bukit Gelugor hadir pada satu tarikh dan tempat yang akan saya beri notis,” katanya.

Karpal sebelum ini meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa apa yang dikatakan oleh Menteri itu adalah sesuatu perkara yang tidak benar dan satu pembohongan besar.

Beliau merujuk kepada kenyataan Nazri pada 6 November lalu yang menyatakan apabila tribunal membuat keputusan dan mendapati mereka (hakim-hakim) ada melakukan kesilapan, apa yang berlaku mereka bukan dipecat tetapi mereka diberhentikan awal.

Ketika itu, Nazri mengumumkan kerajaan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada Mohd Salleh dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat semasa krisis itu.

Mohd Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Wan Suleiman (RM2 juta), George Seah (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin masing-masing mendapat RM500,000.

Nazri dilaporkan berkata bekas hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

Artikel Lain