suria

Kemelut Wanita 3 pemimpin kanan digesa mengalah

KLUANG: Pergerakan Wanita Umno Johor meminta Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Kamilia Ibrahim bersemuka untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut ekoran isu tempoh peralihan kuasa sayap pergerakan itu.

Ketuanya, Datuk Halimah Sadique berkata Wanita Umno Johor berkeyakinan ketiga-tiga pemimpin tertinggi pergerakan itu mampu dan berupaya untuk mencari jalan penyelesaian bertujuan mengelakkan pertandingan sesama mereka pada pemilihan parti Mac tahun depan.

"Wanita Umno Johor tetap menyokong pelan peralihan kuasa Rafidah dan Shahrizat pada Jun tahun depan, tetapi kami meletakkan syarat mahukan mereka dan Kamalia bersemuka mencari jalan penyelesaian yang akan mengukuhkan perpaduan di dalam Wanita Umno," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Halimah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Wanita Umno Johor yang berlangsung selama lebih tiga jam dan dihadiri oleh 20 daripada 26 ketua Wanita Umno bahagian di Johor di sini.

Menurut Halimah, Wanita Umno perlu kekal bersatu padu kerana sayap pergerakan itu merupakan tunjang kepada kekuatan Umno dan Barisan Nasional dan setiap usaha perlu digerakkan untuk memelihara perpaduannya.

Beliau turut berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil alih kepimpinan parti pada Mac depan memerlukan segala kekuatan daripada Wanita Umno.

Sementara itu Halimah turut mahukan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mencampuri urusan dalaman Wanita Umno supaya menghentikan tindakan mereka itu kerana ia menimbulkan kekeliruan di kalangan anggota akar umbi sayap pergerakan itu.

Ahli Parlimen Tenggara itu turut membidas pemimpin-pemimpin Wanita Umno sendiri kerana mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bercanggah tentang isu tempoh peralihan kuasa di antara Rafidah dan Shahrizat.

"Saya kadang kala naik loya apabila membaca surat khabar kerana setiap hari ada sahaja artikel-artikel tentang Wanita Umno. Saya juga meminta pihak-pihak tertentu supaya jangan mencampuri urusan dalaman Wanita Umno".

"Kami tahu menyelesaikan masalah kami sendiri," katanya.

Di SHAH ALAM, Wanita Umno Selangor berpendapat sama ada Rafidah atau Shahrizat perlu mengalah demi memastikan tidak berlaku pertandingan yang akan memecahbelahkan parti.

Ketua Wanita Umno Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin berkata, kedua-dua mereka perlu duduk berbincang sekali lagi dengan mengutamakan kepentingan parti bagi mencapai kata putus berhubung isu jawatan tertinggi sayap kanan Umno terbabit.

Beliau menyatakan pandangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Wanita Umno beberapa bahagian di Selangor di sini hari ini.

"Dalam mesyuarat hari ini, majoriti kami berharap pandangan kami di peringkat bawahan ini diambil kira bagi memastikan kepentingan parti diutamakan dalam usaha memulihkan kembali situasi politik negara dan merampas semula lima negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lepas," katanya.

Seramai 20 daripada 22 Ketua Wanita Umno Bahagian menghadiri mesyuarat hampir empat jam itu di Bangunan Umno Selangor.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno pusat berkata, Wanita Umno Selangor akan menghantar pandangan ke peringkat tertinggi berhubung isu terbabit termasuk menyenaraikan kesan baik dan buruk dalam setiap tindakan yang bakal diambil.

Seripah Noli berkata, berdasarkan keadaan semasa semua pihak dilihat membuat tindakan mengikut emosi dan perkara itu sepatutnya dielakkan demi kepentingan parti. BERNAMA

Artikel Lain