suria

Empat anggota kumpulan perompak bersenjata ditembak mati

MIRI: Empat anggota kumpulan perompak bersenjata ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di satu kawasan kira-kira 37km dari Bintulu awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamad berkata kumpulan perompak itu dipercayai terlibat dalam 19 kes rompakan termasuk satu kes pembunuhan seorang pengusaha kantin di kawasan perindustrian Kemena, kira-kira 10 km dari Bintulu.

Dalam kejadian kira-kira 2.20 pagi itu, polis terpaksa melepaskan tembakan selepas seorang daripada perompak itu melepaskan tembakan ke arah polis, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Semasa anggota polis terlibat cuba mendekati, kumpulan lelaki itu tibatiba bertindak agresif dan salah seorang daripada mereka telah melepaskan tembakan ke arah polis.

"Bertindak mempertahankan diri, pasukan polis telah melepaskan 14 tembakan ke arah kumpulan lelaki berkenaan menyebabkan kesemua suspek mati di tempat kejadian," katanya.

Terdahulu, katanya Ibu Pejabat Polis Bintulu menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran beberapa lelaki warga asing yang berkelakuan mencurigakan di kawasan itu dan bertindak menghantar tujuh anggota ke kawasan itu dan terserempak dengan lelaki berkenaan.

Beliau berkata polis menemui dua pucuk "revolver" buatan sendiri, dua bilah parang, dua pemutar skru, satu kuku kambing, lapan butir peluru hidup dan tiga kelongsong peluru semasa membuat pemeriksaan ke atas mayat suspek, katanya.

Katanya polis sedang memburu saki baki anggota kumpulan itu yang disyaki sedang bersembunyi di Bintulu. BERNAMA

Artikel Lain