suria

Saya harap kami dapat selesai insiden malang ini Angkasawan Negara

KUALA LUMPUR: Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, angkasawan pertama Malaysia, mengaku ada menerima sumbangan apabila beliau memberikan ceramah tetapi menafikan dakwaan yang beliau meminta bayaran bagi sesi berkenaan.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mengambil bahagian dalam acara jalan kaki "Sixth Batik Fun Walk 2008" anjuran Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) di sini hari ini, katanya, beliau biasanya memberi ceramah di sekolah-sekolah dan melakukannya secara percuma.

"Saya telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadilah Yusof dan memberikan penjelasan terperinci. Dan beliau berpuas hati dengan penjelasan saya.

"Saya harap kami dapat menyelesaikan insiden malang ini kerana kesan negatifnya akan menjejaskan kewibawaan saya untuk terus memberikan ceramah di seluruh negara," kata Dr. Sheikh Muszaphar berhubung dakwaan beliau menerima bayaran RM8,000 bagi satu jam berceramah.

Sementara itu, Pengerusi Penyayang Nori Abdullah gembira dengan jumlah penyertaan dalam acara itu berikutan dana yang dikumpul akan disumbangkan kepada pesakit kanser.

"Saya amat gembira dengan jumlah penyertaan pada tahun ini iaitu kirakira 1,200 orang.

"Angka ini berganda daripada penyertaan tahun lepas. Saya amat gembira dengan sokongan yang diberikan mereka terhadap industri batik tempatan.

"Dan juga amat terharu dengan kesediaan peserta ini memberikan sokongan dan bantuan untuk meringankan bebanan pesakit kanser," katanya yang tampak berseri dan cergas walaupun sedang mengandung.

Suaminya yang juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin juga merupakan seorang daripada peserta sebagai tanda sokongan terhadap program anjuran isterinya itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga disyaki bookie ekor ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain