suria

Rais tidak akan tunduk kepada politik wang

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini berkata, beliau enggan menjadi hamba kepada politik wang seperti yang diamalkan sesetengah pihak.

Beliau berkata, lebih cepat Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat, adalah lebih baik.

"Saya tidak akan tunduk kepada permainan (politik wang)," katanya ketika ditanya mengenai peluang beliau memenangi jawatan Naib Presiden Umno selepas menjadi calon terakhir mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding pada pemilihan parti Mac depan.

Bagaimanapun, katanya, beliau enggan menuding jari ke arah sesiapapun dan menambah kata:

"Ia memang sudah diketahui umum."

Rais turut disoal kemungkinan senario politik yang berlaku di Amerika Syarikat yang menyaksikan Barack Obama dari kaum minoriti, berjaya menjadi presiden negara tersebut, akan berulang di Malaysia.

"Keadaan di sana jauh berbeza dengan di negara ini. Mereka tiada kontrak sosial," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, kemungkinan perkara sama berlaku di negara ini memang ada kerana perlembagaan tidak menghalang sesiapa pun daripada menjadi Perdana Menteri asalkan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan, selain mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.

"Siapa juga yang mahu menjadi pemimpin perlu ipso facto (menerima hakikat ini). Beliau mesti berkeupayaan, kompeten dan mempunyai semua kewibawaan untuk menjadi seorang pemimpin," katanya.

Katanya, bagaimanapun politik berasaskan bilangan masih utuh di negara ini seperti juga di Singapura dan adalah sesuatu yang tidak praktikal jika seseorang pemimpin yang mewakili golongan minoriti menjadi perdana menteri.

Artikel Sebelum

Tiga disyaki bookie ekor ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain