suria

Gus Dur tetap mahu jadi calon Presiden Indonesia 2009

JAKARTA: Walaupun didesak banyak pihak supaya tidak mencalonkan diri pada pilihan raya presiden tahun depan, bekas presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur, tetap berkeras mahu menjadi calon.

"Saya ini kan ceritanya dijegal (dihalang) untuk maju sebagai capres (calon presiden) oleh Presiden SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) dan Wakil (Naib) Presiden JK (Jusuf Kalla) dan juga oleh semua Parpol (parti politik) kecuali PKB (Parti Kebangkitan Bangsa).

"Biar saja mereka jegal saya, tidak mengapa. Saya malah gembira. Kita lihat saja nanti," kata Gus Dur, dipetik agensi berita Antara semalam.

Gus Dur mengaku bahawa setiap kali mengadakan dialog dengan masyarakat baik secara lisan mahupun menerusi telefon, beliau merasakan dirinya disokong orang ramai dan sekali gus yakin menang.

"Saya yakin saya menang," ujarnya, yang menambah bahawa sehingga ini 14 orang calon presiden sudah meminta sokongannya untuk pilihan raya itu kelak.

"Saya katakan kepada mereka, saya akan dukung kalau nanti saya tidak "nyalon" (menjadi calon)," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga disyaki bookie ekor ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain