suria

Polis Tindakan tegas jika mogok bogel

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar semalam memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan perhimpunan tanpa permit.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana NGO yang menganjurkan perhimpunan tanpa permit, apatah lagi berbogel," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) yang mengancam untuk berbogel di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) yang menempatkan pejabat Menteri Besar dan Exco bagi mendesak kerajaan negeri agar tidak membuat tindakan yang tidak menguntungkan rakyat seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian semalam.

Antara perkara yang Reformis tidak berpuas hati ialah tindakan kerajaan negeri menaikkan sewa bulanan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 sebulan kepada RM250 sebulan yang didakwa membebankan penyewanya yang kebanyakannya berpendapatan RM500 sebulan.

Presiden Reformis Ramlan Abu Bakar dipetik oleh akhbar itu sebagai berkata:"Kami sebagai rakyat merasakan tidak lagi berpeluang untuk berubah di bawah pentadbiran Khalid (Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim).

"Untuk menegur beliau, Reformis akan melancarkan mogok bogel sebagai jalan terakhir untuk memberikan kesedaran agar PR (Pakatan Rakyat) terus kekal di hati rakyat Selangor." BERNAMA

Artikel Lain