suria

Belum ada bukti politik wang jawatan Timbalan Presiden

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail tidak menolak kemungkinan terdapat calon jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan seperti yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan beliau sendiri ada mendengar desas-desus tentang hal itu.

"Kemungkinan (ia berlaku). Ada orang cakap begitu tapi kita tiada bukti nak siasat dan tiada aduan rasmi juga dibuat.

"Kita nakkan bukti, barulah kita boleh terus memanjangkan siasatan mendakwa orang berkenaan," katanya ketika temuramah eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya di Bukit Damansara di sini, semalam.

Rabu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau percaya ada calon yang berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan supaya layak bertanding pada pemilihan parti Mac depan.

Dr Mahathir berkata, hal itu kemungkinan besar berlaku kerana ada calon yang ketinggalan pada peringkat awal persidangan perwakilan tiba-tiba mendapat pencalonan sehingga layak bertanding.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, beliau tidak boleh percaya kepada desas-desus sedemikian tanpa ada saksi yang mengesahkannya.

Ketika ditanya mengenai cadangan Dr Mahathir supaya ahli-ahli Umno yang didapati bersalah mengamalkan politik wang disingkirkan sepenuhnya daripada parti, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, ia satu cadangan yang wajar memandangkan mereka yang mengamalkan perbuatan itu tidak sepatutnya berada dalam Umno.

"Orang-orang yang terlibat dengan perkara-perkara tidak baik ini tidak perlu menjadi pemimpin dalam parti.

"Seperti yang dikatakan oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) dalam akhbar hari ini, tidak guna kita jadi pemimpin dalam parti tetapi negeri dan parti kita kalah dalam pilihan raya," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak supaya menghapuskan sistem kuota yang diamalkan dalam pemilihan kerana ia menggalakkan ahli Umno mengamalkan politik wang.

"Nanti satu (peringkat) nakkan kuota. Dah (dapat) kuota, nak menang pula...jadi ini dah dua kali (menggunakan wang)," katanya.

Beliau berkata, tidak semua ahli mengamalkan politik wang namun sebahagian yang mengamalkannya perlu mengubah mentaliti mereka kerana jika tidak, ia akan memberi kesan buruk bukan hanya kepada parti malah kepada bangsa dan negara.

"Ini (politik wang) tidak memberi kebaikan kepada negara. Kita mahu pemimpin bertanggungjawab yang bertugas untuk rakyat," katanya.

Artikel Lain