suria

Umno boleh runtuh jika ada pemimpin tidak amanah kata Syed Ali

KUALA LUMPUR Kekuatan dan keteguhan Umno yang dibina lebih 60 tahun oleh pemimpin terdahulu mungkin hancur jika dibarisi pemimpin tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan mereka yang berkepentingan mengikut telunjuk nafsu politik.

Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata beliau amat khuatir dengan menjelangnya perhimpunan Agung Umno Mac depan, budaya berkempen yang disulami dengan sogokan rasuah politik akan terus menjalar dan semakin sukar dibendung.

"Saya melihat pemilihan parti seperti tidak lengkap jika tidak dihiasi dengan pemberian habuan wang ringgit dengan pelbagai bentuk dan cara yang kesemuanya mempunyai satu tujuan iaitu membeli undi untuk mencipta kemenangan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya usaha untuk memerangi politik wang tidak memadai setakat membina sebuah kod etika.

"Undang-undang tanpa penguatkuasaan tidak akan berkesan. Umno mencipta kod etika tetapi longgar yang akhirnya menjadi bahan ketawa dan bertambah sedihnya seolaholah turut dipersenda oleh calon yang menawarkan diri bertanding," katanya. Beliau berkata politik wang merupakan virus yang menjadi ancaman kepada kekebalan Umno yang selama ini masih gagah bertahan tetapi lambat laun parti akan hancur jika tidak ada usaha memeranginya secara nekad dan ikhlas.

Syed Ali mendakwa sesetengah pemimpin mengambil jalan pintas dengan memulakan suapan upah atau sogokan rasuah politik untuk mengekalkan jawatan yang dipegang mereka.

"Pemimpin jenis inilah yang tidak memberikan manfaat kepada kepentingan Umno, rakyat dan negara malah mencemarkan maruah orang Melayu keseluruhannya," katanya.

Justeru itu, katanya para perwakilan seharusnya mempunyai jiwa yang lapang dan hati yang bersih, yang tidak dikotori oleh kuman politik wang dalam pencarian mereka memilih pemimpin bertanggungjawab.

"Anggota Umno akan menjadi bertambah kecewa seandainya pemimpin mereka masih sukar untuk bersikap ikhlas dan bertanggungjawab biarpun Umno sepatutnya sudah pun berubah," katanya.

Beliau turut merayu kepada perwakilan supaya menolak manamana calon yang bertanding atas kekuatan amalan politik wang. BERNAMA

Artikel Lain