Najib Biar wanita Umno selesaikan isu peralihan kuasa - Semasa | mStar

Najib Biar wanita Umno selesaikan isu peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menyerahkan kepada Wanita Umno untuk menyelesaikan isu mengenai pelan peralihan kuasa dalam pergerakan itu.

"Biarlah mereka sendiri selesaikannya," katanya kepada pemberita di sini semalam ketika ditanya sama ada jawatan Ketua Wanita Umno perlu ditandingi.

Pelan peralihan kuasa pergerakan itu daripada ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz kepada timbalannya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dijadualkan pada Jun tahun depan tetapi terdapat saranan daripada sekumpulan pemimpin negeri dan bahagian Wanita Umno agar ianya dipercepatkan ke Mac selaras dengan pemilihan parti.

Sebanyak 73 bahagian telah mencalonkan Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua.

Mengenai surat tunjuk sebab daripada Umno kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berhubung satu surat terbukanya dan pertemuannya dengan Anggota-anggota Parlimen Pakatan Rakyat untuk mendesak agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, Najib berkata beliau tidak tahu mengenai perkembangannya.

"Terserahlah kepada parti," katanya. Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Zaid diberi tempoh sehingga Sabtu ini untuk menjawab.

Pada satu acara berasingan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak ada masalah jika jawatan ketua Wanita Umno dipertandingkan kerana ia merupakan amalan demokrasi.

"Kalau dia nak bertanding (ada pertandingan bagi jawatan ketua wanita), biarlah dia bertanding. Saya fikir tak Ada masalah. Lepas tu rapat balik barisan," katanya.

Beliau berkata apa yang menimbulkan masalah ialah bila ada pertandingan, yang kalah tidak mahu bercakap dengan yang menang. "Ini bukanlah satu bentuk demokrasi," katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Mahathir: Ketua, Naib Ketua Wanita Umno wajar dipertandingkan

PUTRAJAYA: Bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita wajar dilaksanakan kerana ia mencerminkan nilai demokrasi dalam pergerakan itu.

"Pada saya, ia (pertandingan) sesuatu yang baik kerana ia demokrasi.

"Jika tiada wang yang terlibat, saya rasa jawatan itu patut dipertandingkan," kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Bangsa Malaysia" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, dua hari lalu.

Dr. Mahathir berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada Wanita untuk menentukan siapa yang patut dan tidak patut memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Isnin lalu, keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita Umno mengekalkan pelan peralihan kuasa di antara ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 27 Exco itu juga membuat ketetapan bahawa jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi perpaduan dan pengukuhan sayap kanan Umno itu.

Bagaimanapun, Exco Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang telah meraih cukup pencalonan bagi jawatan Naib Ketua pergerakan itu tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan itu dan menolak pelan peralihan kuasa yang dipersetujui pada 4 Ogos lalu.

Shahrizat dalam kenyataannya kelmarin juga berkata, beliau masih berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno perlu diselaraskan dengan badan induk, Pemuda dan Putera sempena Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain