suria

FINAS kaji semula lambakan majlis anugerah filem

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) semalam menyerahkan duti hiburan berjumlah RM1.8 juta dari bulan Mei hingga Oktober 2008 kepada sembilan syarikat penerbitan filem.

Penyampaian duti hiburan disampaikan oleh Pengerusi FINAS yang baru, Datuk Razali Ibrahim di majlis suaikenal bersama karyawan dan media di pejabat Finas di Ulu Kelang di sini, semalam.

Sembilan syarikat penerima duti hiburan ialah Infohibur Production Sdn. Bhd. (RM28,845.40), Starry Eye Production Sdn. Bhd. (RM41,467.20), Astro Shaw Sdn. Bhd. (RM49,430.90), Sonata Film Sdn. Bhd. (RM85,678.10), MIG Production (RM215,989.00), Skop Production (RM229,211.20), KRU Communication Sdn. Bhd. (RM330,626.50). Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (RM338,791.50) dan Grand Brilliance Sdn. Bhd.(RM554,390.10).

Sementara itu, Razali dalam ucapannya berkata terdapat dua perkara penting yang ingin diubahnya iaitu persepsi masyarakat tentang peranan FINAS selama ini.

Razali juga berkata beliau ingin mengkaji semula anugerah dalam industri filem yang terlalu banyak.

Jelas beliau, anugerah yang terlalu banyak akan mengurangkan nilai prestij sesebuah majlis anugerah.

"Saya tak nafikan artis kita perlu dihargai, tapi bila sudah terlalu banyak majlis anugerah diadakan pasti kualitinya sudah tidak gah.

"Kita tidak ada kayu pengukur untuk menilai sesuatu anugerah dan saya rasa ia perlu diselaraskan kerana industri hiburan kita kecil," katanya yang juga ahli Parlimen Muar.

Dalam majlis yang sama, FINAS turut menyampaikan sumbangan di bawah skim belaan artis kepada lima artis veteran.

Mereka terdiri daripada Datin Umi Kalthum (RM10,000), Sharifah Aminah (RM5,000), Zainal Abdul Wahab atau Z. Roslee (RM5,000), balu Allahyarham Raffi Hussein (RM3,000) dan balu Allahyarham Nasir Ali (RM3,000).

Artikel Lain