suria

Bekas TKP Imigresen hadapi empat lagi tuduhan rasuah

KLANG Bekas Timbalan Pengarah 1 (Bahagian Kawalan) Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar yang sebelum ini menghadapi sembilan pertuduhan rasuah, hari ini didakwa terhadap empat lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM36,500 di Mahkamah Sesyen di sini.

Yusof, 54, dari Taman Bukit Chedang Seremban dituduh menerima suapan itu di hentian sebelah Serdang arah utara di Lebuhraya Utara Selatan dari 29 April hingga 7 Julai tahun ini daripada seorang pengurus jualan sebagai dorongan untuk melanjutkan Pas Lawatan warganegara China.

Dia yang mengaku tidak bersalah terhadap keempatempat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau manamana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Okt lepas, Yusof mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM82,500 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Aslam Zainuddin memberikan Yusof diikat jamin RM50,000 dan menetapkan 27 Nov ini bagi pihak pendakwaan mengemukakan hujah tambahan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah Ng Siew Wee memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan sembilan pertuduhan itu kerana ia melibatkan kesalahan dan saksi yang sama. BERNAMA

Artikel Lain