suria

Pekerja Zoo Singapura rakyat Malaysia mati dibaham harimau

SINGAPURA: Zoo Singapura di Jalan Mandai di sini gempar apabila seorang pekerja rakyat Malaysia mati dipercayai dibaham harimau putih peliharaan zoo itu hari ini.

Polis Singapura ketika dihubungi Bernama berkata Nordin Montong, 30-an, dijumpai dalam keadaan cedera di leher dan badannya.

Polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.30 tengah hari tadi mengenai kejadian itu dan terus berkejar ke zoo berkenaan.

Paramedik yang turut dikejarkan ke sana mengesahkan Nordin meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari.

Polis bagaiamanapun tidak pasti dari negeri mana di Malaysia Nordin berasal.

Laporan awal mendapati dia dipercayai diserang oleh tiga ekor harimau putih apabila masuk ke dalam kandang pameran haiwan itu.

Para penjaga zoo yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan Nordin dengan mengalihkan perhatian harimau-harimau itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain