suria

Ong Chua kembali berbalah

KUALA LUMPUR: Belum pun sampai dua hari pelantikan penyandang jawatan penting dalam MCA diumumkan, keretakan hubungan antara presiden parti itu Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sudah mula kelihatan.

Walaupun kuasa melantik penyandang jawatan merupakan prerogatif presiden parti, namun Dr Chua dilaporkan tidak begitu berpuas hati mengenainya apabila beliau mengingatkan pihak tertentu supaya tidak lagi mempermainkan beliau serta menghormati kehendak anggota perwakilan.

Kata-kata itu dilihat merupakan mesej jelas Dr Chua kepada Tee Keat agar tidak lagi mengetepikan beliau.

Adalah dipercayai, kata-kata Dr Chua itu merujuk kepada pemilihan anggota MCA yang akan menganggotai Kabinet berikutan kekalahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam pemilihan parti itu pada 18 Okt.

"Soalnya bukan sama ada saya gembira atau tidak, tapi sama ada anggota perwakilan gembira atau tidak," kata beliau dalam satu laporan.

Sebelum ini, Tee Keat dan Dr Chua terlibat dalam perbalahan menjelang pemilihan MCA hingga ke peringkat di mana Tee Keat melabelkan bekas Menteri Kesihtan itu sebagai "penulis blog yang tercemar akhlaknya" dan dibalas Dr Chua dengan kata-kata bahawa Tee Keat cuba "berlagak sebagai orang baik-baik".

Namun demikian, sejurus selepas pemilihan parti, dua pemimpin itu yang digelar "pemimpin kangkung", berkata mereka boleh bekerjasama, walaupun sesetengah anggota MCA dan penganalisis politik meraguinya.

Keraguan ini nampaknya berasas kerana selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) pertama parti itu yang dipengerusikan Tee Keat pada Selasa, Dr Chua tidak dilantik menyandang jawatan penting seperti pengerusi MCA negeri.

Beliau hanya dilantik mengetuai Biro Pemantauan Dasar Kerajaan.

Sebaliknya, Tee Keat melantik orang kepercayaan beliau untuk menyandang jawatan utama.

Datuk Wong Foon Meng dilantik sebagai setiausaha agung, Tan Sri Tee Hock Seng sebagai bendahari agung dan naib pengerusi Pemuda MCA Wyman Yoo Wei How dilantik sebagai setiausaha pengelola kebangsaan yang sekaligus memperkukuh kedudukannya dalam parti berkenaan, yang merupakan parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN).

Walaupun para pemimpin ini dikatakan rapat dengan bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Dr Chan Kong Choy, pelantikan mereka, kata orang dalam parti itu dan penganalisis politik, merupakan langkah untuk menyekat pengaruh Dr Chua dalam parti berkenaan.

Di samping itu, Ong juga melantik dirinya mengetuai MCA Johor dan mengetepikan Dr Chua, yang sememangnya berasal dari negeri itu, serta melantik orang kuatnya untuk mengetuai negeri lain. Tee Keat mempertahankan tindakannya itu dengan berkata keputusan yang beliau ambil bukan bertujuan untuk memuaskan hati "kumpulan atau orang tertentu."

Beliau mengingatkan Dr Chua bahawa dalam mana-mana jua parti politik, hanya seorang saja yang boleh menerajui kepimpinannya pada satu-satu masa.

"Adakah anda tengok Annette Lu (bekas naib presiden Taiwan) memberi perintah apabila Chen Shui Bian menjadi presiden Taiwan?

Begitu juga halnya dengan Ma Yingjeou (presiden sekarang), anda tidak akan melihat Vincent Siew (naib presiden sekarang) bangun dan memberi komen.

"Dan saya agak pasti bahawa anda tidak akan melihat Syed Husin Ali PKR (naib presiden) memberi arahan," katanya dalam temubual dengan sebuah akhbar yang disiarkan hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain