suria

Keputusan rujuk Nazri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diketahui minggu depan

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada Dewan, akan diketahui minggu hadapan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau perlu menyemak semua butiran kerana perkara itu melibatkan banyak implikasi.

Pada 6 Nov lepas, Nazri ketika mengumumkan pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.

Pada 10 Nov pula, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain