suria

Karpal buat laporan polis terhadap Ketua Hakim

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh petang tadi membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi bahawa dua bekas hakim dan kakitangan mahkamah terbabit amalan rasuah.

Karpal yang juga Pengerusi DAP tiba bersama peguamnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, kira-kira jam 3 petang.

Dalam laporannya, Karpal menggesa pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan satu siasatan lengkap di bawa Akta Pencegahan Rasuah 1961 berhubung kenyataan yang dibuat Zaki.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Zaki pada satu konvensyen di Kuching telah diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 8 November lalu.

Zaki turut menyatakan yang beliau mengenali dua bekas hakim tersebut secara peribadi.

"Pendedahan itu dibuat tidak lain tidak bukan daripada ketua kehakiman, (Tun) Zaki, yang ternyata salah dari moralnya tidak membuat laporan kepada pihak polis atau BPR.

"Rasuah dalam kehakiman tidak boleh dibiarkan tanpa dikesan dalam kepentingan awam dan (Tun) Zaki sepatutnya membuat laporan jika beliau tidak melakukannya," katanya.

Karpal berkata, Zaki turut mendedahkan pada tahun 1987, ketika beliau menjadi peguam, beliau telah disenaraihitam apabila membuat aduan kepada ketua pendaftar tentang dua fail milik anak guamnya yang hilang.

"(Tun) Zaki berkata yang beliau mengambil masa enam bulan untuk menjadi baik, merasuah setiap individu supaya diterima semula dan melihat kembali fail-fail mereka.

"Kenyataan-kenyataan seperti itu jika terbukti diungkapkan (Tun) Zaki boleh menyebabkan beliau didakwa di bawah Seksyen 4(b), Akta Pencegahan Rasuah," katanya.

Karpal berkata, setiap orang adalah sama dari segi undang-undang dan Zaki mesti diadili sebagai rakyat biasa.

"Mahkamah mesti melindungi individu tetapi jika mahkamah itu sendiri korup, bagaimana orang boleh bergantung kepada mahkamah," katanya sambil menambah tidak seperti kes-kes sivil biasa, tiada had masa bagi pendakwaan jenayah seperti kes ini.

Karpal memfailkan laporan polis tersebut setelah usulnya supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Zaki itu ditolak buat kali kedua semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.

Ketika menjelaskan perkembangan tersebut, Pandikar Amin berkata, peraturan 36(8) memperuntukkan bahawa kelakuan atau sifat hakim-hakim tidak boleh disebut kecuali dengan dikeluarkan usul secara bersendiri

Artikel Sebelum

Artikel Lain