suria

Pelan peralihan ditolak RafidahShahrizat dicabar

PETALING JAYA: Dua pemimpin kanan Wanita Umno membayangkan petanda baru, yang semakin jelas akan ada pertandingan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita - perubahan pendirian selepas 24 jam pergerakan itu mengadakan mesyuarat Exco.

Mengambil kira kenyataan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalin dan Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim hari ini, pergerakan itu juga bakal menyaksikan pertandingan.

Shahrizat berkata, beliau masih berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno perlu diselaraskan dengan badan induk, Pemuda dan Putera sempena Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

"Jika kita teruskan keputusan yang dibuat pada Ogos 2008, ini akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita Umno hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan.

"Seterusnya jawatan Ketua Wanita Umno hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun manakala jawatan Naib Ketua Wanita terpaksa dikosongkan.

"Ini merugikan kepimpinan Wanita Umno dalam senario politik hari ini," kata beliau.

Pelan peralihan: Wanita Jerlun, Kalabakan persoal keputusan Exco di segmen BERITA

PENDIRIAN KAMILIA

Kenyataan beliau itu disusuli pendirian Kamilia yang dicalonkan untuk jawatan Naib Ketua Wanita.

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Kamilia berkata, beliau bertegas untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno.

"Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

"Saya menawarkan diri untuk bertanding sebelum ini kerana Tan Sri (Rafidah) sendiri yang mengatakan beliau mahu berhenti daripada jawatan Presiden, maknanya beliau sendiri yang mewujudkan peluang itu.

"Jadi saya nampak jawatan Naib Ketua itu kosong kerana (Datuk Seri) Shahrizat yang memegang jawatan itu pada masa ini akan pergi ke jawatan nombor satu," katanya.

Kamilia berkata, istilah 'pemangku' Ketua Wanita yang akan dipegang Shahrizat jika pelan peralihan berlaku pada Jun tahun depan tidak boleh dibuat sesuka hati kerana ia salah dari segi perlembagaan parti.

"Jawatan pemangku hanya boleh wujud jika berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan seperti Ketua meninggal dunia atau sakit.

"Tapi dalam hal ini, jawatan pemangku itu sengaja diwujudkan untuk tempoh tiga tahun hanya kerana keputusan exco mahukan Tan Sri (Rafidah) memegang jawatan Ketua selama tiga bulan. Di mana logiknya?" katanya.

TIDAK IKTIRAF

Ketika menyatakan pendiriannya itu kepada Bernama hari ini, Kamilia berkata, beliau menawarkan diri bagi jawatan itu kerana beliau tidak mengiktiraf pelan peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu pada Jun 2009.

Katanya, pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembangan Umno dan "bukan amalan Umno".

Kamilia, yang telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu termasuk semalam, berkata tindakannya itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak menyetujui pelan peralihan itu.

"Saya telah bagi mesej yang jelas, bila saya tidak datang bermakna saya tidak dapat menerima pelan peralihan kuasa itu," katanya.

Kamilia yang merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, bukanlah hak Exco Wanita untuk menentukan siapa pemimpin pergerakan itu.

Exco Pergerakan Wanita Umno semalam memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun 2009.

Mesyuarat itu juga membuat ketetapan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Umno Mac depan demi perpaduan dan pengukuhan sayap Umno itu.

Mesyuarat itu menolak cadangan Shahrizat supaya pelan peralihan pergerakan itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.

Kamilia, yang layak bertanding bagi jawatan itu setelah memperoleh 55 pencalonan, berkata pemimpin pergerakan itu haruslah dipilih oleh anggota dan akar umbi.

Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat mengetahui pendiriannya yang tidak menyetujui pelan peralihan itu, Kamilia berkata: "Saya rasa mereka berdua tahu".

Katanya, beliau melihat terdapat kekosongan pada jawatan nombor dua dalam pergerakan itu selepas Rafidah memaklumkan hasrat untuk "berhenti" memimpin pergerakan itu pada Ogos lepas.

"Saya tetap tawarkan diri kerana Rafidah kata hendak berhenti. Dan saya tawarkan diri kerana telah dapat cukup pencalonan," katanya.

Ditanya sama ada beliau "kisah" untuk bertanding dengan Shahrizat bagi jawatan itu, Kamilia berkata beliau tidak akan menarik diri walaupun berhadapan dengan sesiapa jua.

DIHUBUNGI

Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat telah menghubungi beliau untuk berunding seperti yang dilaporkan, Kamilia berkata, beliau belum dihubungi oleh kedua-dua pemimpin itu.

Kamilia bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu kedua-dua pemimpin itu untuk berunding.

"Saya tak nak jumpa kerana pendirian (saya) sudah ada," katanya.

Kata Kamilia, beliau menawarkan diri bagi jawatan itu adalah untuk membolehkan beliau memperjuangkan isu Islam dengan lebih berkesan memandangkan isu agama itu kini kerap dipersoalkan.

"Sebagai seorang peguam dan ahli politik yang telah lama berkecimpung dalam Umno, saya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

"Saya perlu tempat lebih tinggi kerana saya nampak ada kekosongan," katanya.

BERITA TERDAHULU:

Saingi Naib Ketua: Kamilia enggan ulas pendirian

PETALING JAYA: Datuk Kamilia Ibrahim (gambar), yang kini mejadi perhatian ekoran pencalonan untuk kerusi Naib Presiden Umno, masih enggan 'membuka mulut' sama ada akan mencabar penyandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Mac depan.

Ketika dihubungi oleh mStar Online hari tadi, Kamilia berkata, beliau mahu memberi apa-apa komen buat masa ini.

"Saya tidak tahu apa intipati mesyuarat semalam dan saya juga masih belum berjumpa dengan Datuk Seri Shahrizat.

"Oleh itu, saya tak dapat nak komen apa-apa," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Kamilia tidak menghadiri mesyuarat exco Wanita semalam.

Mesyuarat Exco Wanita semalam juga menetapkan pelan peralihan sayap Umno itu kekal dilaksana pada tarikh asal iaitu Jun 2009 manakala jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita tidak akan dipertandingkan.

Semalam, Exco Pergerakan Wanita UMNO memutuskan pelan peralihan kuasa antara Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Shahrizat Abdul dikekalkan pada Jun 2009.

Mesyuarat itu sekali gus menolak cadangan Shahrizat supaya pelan peralihan kuasa pergerakan itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri pada Mac depan, manakala dua jawatan tertingginya tidak dipertandingkan.

Shahrizat yang menerima keputusan itu bagaimanapun berkata, beliau akan meminta ruang untuk meneruskan rundingan bagi merealisasikan cadangannya itu supaya tidak mengenepikan suara akar umbi berdasarkan 73 pencalonan yang diperolehnya untuk bertanding jawatan Ketua Wanita.

Rafidah telah mendapat 117 pencalonan bagi membolehkan beliau terus memegang jawatan tertinggi itu manakala bagi jawatan Naib Ketua, Shahrizat mendapat 113 pencalonan manakala Kamilia 54.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Sanglang angkat sumpah

Artikel Lain