suria

Mahkamah arah dua komputer Raja Petra dianalisis semula

PETALING JAYA: Pihak pendakwa berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya dua komputer yang dirampas daripada pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dianalisis semula.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwa yang dikemukakan di bawah Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan tersebut.

Rozina berkata, beliau membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang tidak dibuka oleh saksi ketujuh, penyiasat forensik, ASP Wa’ie Isqal Kria Abdullah, 38, semasa membuat analisis.

"Ia perlu dilakukan dengan kehadiran kedua-dua pihak termasuk yang tertuduh," kata beliau.

Menurut Rozina, mahkamah perlu menilai kesemua bukti yang terdapat dalam kedua-dua komputer demi keadilan.

"Ia untuk mendapat keadilan," kata beliau pada hari kelapan kes hasutan dihadapi Raja Petra hari ini.

Permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof Semalam selepas ASP Wa'ie mengaku bahawa telah mengesan beberapa bahagian dalam kedua-dua komputer tetapi tidak membuka dan membawa fail-fail berkenaan kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat DSP Mahfuz Abdul Majid.

Ho kemudian menetapkan sambungan perbicaraan mulai 16 Disember ini.

Semalam Rozina berkata, beliau akan memutuskan hari ini sama ada untuk membenarkan permohonan pendakwaan untuk Waie membuka dan menganalisis semula folder lain yang terdapat di dalam unit pemprosesan komputer dan komputer riba milik Raja Petra.

Ishak ketika mengemukakan permohonan itu berkata, perkara itu amat penting bagi mencapai keputusan mahkamah yang adil.

"Sebelum ini, beliau (Wa'ie) hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan membuka folder yang berkaitan dengan artikel "Let's Send Altantuya Murderers To The Hell".

"Wa'ie perlu membuat analisis kali kedua untuk mengeluarkan folder tersebut dan ia boleh dijadikan sebagai keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan.

"Adalah wajar untuk saksi pendakwaan mendapatkan kandungan folder tersebut bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan bukti keseluruhan yang ada dalam komputer," katanya.

Semalam, Wa'ie berkata, Raja Petra telah melupuskan bahan bukti pengendalian melalui komputer riba miliknya dengan menggunakan program "clean it".

Wa'ie berkata, berdasarkan laporan analisis yang dilakukan terhadap komputer riba milik Raja Petra pada 11 sehingga 26 April lalu, tidak ada sebarang capaian ditemui.

Dengan itu, beliau berpendapat segala data yang terdapat di dalamnya telah dipadam menggunakan program "clean it",

"Apabila digunakan program tersebut, segala data tidak ditunjukkan dalam 'unallocated cluster' iaitu satu lagi program yang digunakan untuk menyimpan fail-fail aktif yang telah dipadamkan," katanya.

Raja Petra, 58, yang dituduh menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Sanglang angkat sumpah

Artikel Lain