suria

Lebih 7000 ekor biawak dan tikus diselamatkan daripada jadi hidangan di restoran

KUALA LUMPUR: Lebih 7,000 ekor biawak tikus dan pelbagai spesis haiwan yang dilindungi dapat diselamatkan daripada dijadikan hidangan di restoran yang menjual makanan eksotik dalam serbuan di Muar dan Segamat Johor, dua minggu lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abd Rasid Samsudin berkata dalam keduadua serbuan itu, pegawai jabatannya turut merampas bangkai serta daging 13 spesis hidupan liar yang dilindungi itu.

Daging hidupan liar yang telah siap dilapah termasuk burung jambul, beruang, ular dan landak ditemui tersimpan dalam peti sejuk dan dipercayai siap untuk dijual, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abd Rasid berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Muar pada 4 Nov lepas, sembilan spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan empat spesis haiwan terlindung ditemui disimpan dalam stor dan peti sejuk di dalam rumah terbabit.

Beliau berkata seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50an ditahan dalam serbuan itu.

Katanya antara dirampas ialah empat ekor babi hutan dan 51 ekor biawak tikus yang masih hidup, bangkai seekor tenggiling, dan bangkai 999 ekor burung dari spesies burung jambul yang telah dicabut bulu dan dibungkus dalam plastik.

Abd Rasid berkata turut dirampas ialah daging beberapa spesis haiwan yang telah siap dilapah termasuk napuh, ular sawa, beruang Malaya dan landak raya.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah stor di Segamat pada 7 November, sejumlah 7,093 ekor biawak tikus yang masih hidup seberat 35 tan dijumpai dalam kotak khas dan dipercayai untuk dijual, antara RM50 hingga RM80 sekilogram, di pasaran gelap.

"Kebanyakan haiwan berkenaan akan dijual ke restoran yang menyajikan hidangan haiwan eksotik dan ada juga yang akan dijadikan sebagai ubat tradisional," katanya.

Beliau berkata kesemua haiwan yang masih hidup akan dilepaskan semula ke habitat masingmasing manakala bangkai binatang yang ditemui akan dibuang.

Abd Rasid berkata lelaki itu yang didakwa di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar kerana memiliki pelbagai jenis hidupan liar yang dilindungi mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak Jumaat lepas.

Katanya lelaki dikenakan diikat jamin sebanyak RM19,000 sementara menunggu sebutan semula kes itu pada Febuari tahun depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Sanglang angkat sumpah

Artikel Lain