suria

Faktor keselamatan Nik Aziz belum sedia ceramah di selatan Thai

TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui beliau masih belum bersedia untuk memberi ceramah di kawasan Selatan Thailand atas faktor keselamatan.

Nik Aziz berkata, walaupun beliau menerima banyak jemputan untuk berceramah di kawasan itu termasuk daripada Konsul Thailand di Kelantan, beliau belum bersedia untuk berbuat demikian.

"Konsul (Thailand) di sini dah banyak kali ajak saya memberi ceramah di sana, tapi saya bimbang dengan keselamatan memandangkan pandangan saya agak berbeza dengan mereka di sana," katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Kain Kathin dan Pesta Loy Krathong di Wat Phikulthong Vararam di sini, hari ini.

Pada majlis itu, ketua sami wat berkenaan, Vichan Vutikhun menerima kain kathina (kain berwarna oren yang dipakai oleh sami) Kurniaan Raja Thailand, Raja Bhumiphol Adulyadej yang disampaikan oleh wakil raja Thailand, bekas Menteri Luar Thailand Dr Tej Bunnag.

Mengenai pesta Loy Krathong, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan sambutan pesta kebudayaan masyarakat Siam itu mampu mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, agama Islam tidak melarang umatnya berbaik dengan kaum lain bagi mewujudkan kesejahteraan dalam sesebuah negara.

"Agama (Islam) tak larang kita berbaik dengan orang beragama BudDha, dan saya harap dengan adanya acara kebudayaan seperti ini, hubungan masyarakat Siam dengan orang Melayu lebih erat," katanya.

Beliau turut mengesa masyarakat Islam di selatan Thailand supaya hidup dengan aman serta mengambil sikap berunding terlebih dahulu terhadap sebarang masalah yang timbul. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Sanglang angkat sumpah

Artikel Lain