suria

Dr M Siapa saja boleh jadi PM asalkan Bangsa Malaysia

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesiapa saja, baik Melayu atau bukan Melayu, boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia asalkan dia "Bangsa Malaysia".

Bekas Perdana Menteri itu berkata, undang-undang negara ini menetapkan bahawa siapa saja boleh menjadi Perdana Menteri tetapi dia mestilah pemimpin sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti.

"Jika kita cakap mengenai PM bukan Melayu, kita dianggap bersifat perkauman. Kita tidak boleh menyoal sama ada dia Melayu atau bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas berucap pada siri Wacana Perdana "Bangsa Malaysia" di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia sudah bersedia mempunyai seorang Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu ekoran pemilihan Barack Obama sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Dalam ucap utamanya sebelum itu, Dr Mahathir berkata parti berasaskan kaum dalam Barisan Nasional (BN) masih relevan untuk menangani isu perkauman. "BN telah membuktikan bahawa sejak 50 tahun lepas, parti itu telah mengurangkan perbahasan mengenai perkauman dan telah membangunkan negara ini ke tahap yang ada pada masa ini," katanya.

Dr Mahathir juga menolak andaian kononnya prestasi buruk BN dalam pilihan raya lepas disebabkan rakyat menolak politik berasaskan kaum.

"Ini tidak betul. Macam mana mereka boleh kata penolakan itu disebabkan parti berasaskan kaum kerana parti yang mendapat sokongan seperti PAS, DAP dan Keadilan juga berasaskan kaum.

"Kenapa mereka tak suka kontrak sosial...ia kerana (faktor) kaum. Kenapa mereka mahu PM bukan Melayu, ia juga kerana (faktor) kaum," katanya.

Dr Mahathir berkata, langkah untuk mengatasi isu itu perlu dilakukan secara perlahan dan rakyat perlu berkorban.

"Ini hanya dapat dilakukan bukan menerusi parti pembangkang tetapi dengan kembali kepada parti berasas kaum, BN. Sama ada suka atau tidak, saya rasa parti berasaskan kaum masih relevan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Sanglang angkat sumpah

Artikel Lain