suria

BBC Pakatan sambut baik pelantikan Pengerusi baru SPR

KUALA LUMPUR Pelantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa 31 Disember ini menerima reaksi positif daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata perlantikan Abdul Aziz itu sebagai sesuatu yang wajar dan menepati kriteria.

"Beliau merupakan seorang yang layak untuk menjalankan tugas bagi jawatan tersebut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Tambah Tiong, beliau berharap agar Abdul Aziz dapat memperbetulkan kelemahan yang ada pada SRR.

"Kita harap dia boleh jalankan tugas dengan baik dan betulkan mana-mana kelemahan yang ada dalam SPR, sekarang pun kita nampak beliau jalankan tugas dengan baik di kementeriannya," katanya.

Abdul Aziz kini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun menyifatkan perlantikan Abdul Aziz sebagai pengerusi SPR yang baru itu sebagai tepat pada masanya.

"Lantikan beliau adalah kena pada masanya apabila kita dapat saksikan tiada lagi tuduhan oleh pihak pembangkang yang menyebut tentang kelemahan SPR," katanya.

Selain itu, beliau turut percaya bahawa lantikan tersebut akan memberi kecemerlangan yang berterusan kepada SPR yang selama ini mempunyai prestasi yang cemerlang.

"Beliau adalah seorang yang mempunyai prinsip yang begitu jelas dan seorang yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam menguruskan krisis," tambah beliau.

Menurut Idris lagi, beliau amat berkeyakinan bahawa Abdul Aziz mampu untuk menambah baik ruang yang ada dalam mana-mana agensi yang belia terajui.

Sementara itu bagi Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, beliau menyambut baik keputusan kerajaan untuk melantik Abdul Aziz sebagai Pengerusi SPR yang baru.

"Saya rasa pihak kerajaan telah memilih seorang tokoh yang dirasakan mempunyai integriti tinggi untuk menerajui jawatan penting dalam kerajaan ini.

"Saya kira pihak atas dah fikirkan sedalam mungkin sebelum melantik beliau menerajui SPR, kita tiada hak untuk membantah," katanya.

Ditanya adakah dengan perlantikan itu mampu mengubah persepsi pembangkang terhadap SPR, Mukhriz berkata beliau tidak percaya persepsi tersebut dapat diubah.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat menyambut baik pelantikan Abdul Aziz sebagai Pengerusi SPR yang disifatkan sebagai seorang pegawai pentadbir yang baik dan berwibawa.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang amat mengharapkan seorang tokoh yang betulbetul dianggap bebas untuk mengendali dan memimpin SPR.

"Kita kenal Tan Sri Abdul Aziz sebagai pegawai pentadbir yang baik dan berwibawa tetapi kita juga tahu bahawa tugas SPR selama ini paling tidak menyenangkan pelbagai pihak dan dipertikaikan kebebasan dan ketelusannya.

"Jadi kita mengharapkan beliau (Abdul Aziz)akan memikul amanah itu sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas dan adil dan kita akan tunggu kenyataan awal dan langkahlangkah yang beliau akan ambil sebelum menyatakan sikap (pendirian) kita berikutnya," katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan Abdul Aziz bagi mengambil alih tugas Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang akan tamat tempoh perkhidmatannya apabila mencapai umur 66 tahun pada 30 Disember ini.

Pelantikan Abdul Aziz berkuat kuasa 31 Disember ini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Sanglang angkat sumpah

Artikel Lain