suria

Tee Keat buat lantikan baru kukuh kedudukan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengukuhkan lagi asas kedudukannya dalam parti dengan melantik penyokong serta pembantu yang paling dipercayainya untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.

Antara mereka adalah Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Wong Foon Meng yang dilantik sebagai Setiausaha Agung parti yang baru, dan pemimpin korporat Senator Tan Sri Tee Hock Seng sebagai bendahari agung MCA yang baru.

Kedua-dua mereka turut dilantik sebagai pengerusi MCA negeri, dengan Wong mengambil alih jawatan pengerusi MCA Selangor dari Tee Keat, dan Hock Seng mengambil alih jawatan pengerusi MCA Wilayah Persekutuan daripada Datuk Tan Chai Ho.

Tee Keat turut melantik Naib pengerusi Pemuda MCA, Wyman Yoo Wei How sebagai setiausaha penganjur kebangsaan parti, dan setiausaha penganjur Pemuda MCA, Gan Hong Su dilantik sebagai timbalan setiausaha penganjur kebangsaan parti.

Selain itu Tee Keat turut mengukuhkan kedudukannya di peringkat kepimpinan negeri dengan mengambil alih jawatan pengerusi MCA Johor daripada bekas presiden parti Datuk Seri Ong Ka Ting.

Beliau turut melantik Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai pengerusi MCA Melaka dan salah seorang penyokongnya di Negeri Sembilan, Datuk Dr Yeow Chai Tiam sebagai pengerusi baru MCA negeri itu.

Semasa semua pelantikan itu dianggap sebagai usaha mengukuhkan kedudukannya dalam parti, terutama di peringkat kepimpinan utama, ada beberapa pemimpin parti percaya bahawa ia adalah hasil kompromi antara kepimpinan baru dan lama MCA.

Mereka juga menjangka ia adalah kompromi yang dicapai antara pemimpin pelbagai kumpulan memandangkan sokongan popular parti pada dasarnya terbahagi kepada lima kumpulan yang terdiri daripada kumpulan penyokong bekas presiden Ong Ka Ting; bekas timbalan presiden Tan Sri Chan Kong Choy; timbalan presiden semasa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; bekas naib presiden Datuk Chua Jui Meng; dan kumpulan penyokong Tee Keat sendiri.

"Bagi saya ia lebih kepada kumpulan penyokong Chan muncul sebagai pemenang dalam proses 'kompromi' ini," kata seorang pemimpin veteran kepada Bernama.

"Perlu dilihat di sini Datuk Wong (Foon Meng) juga adalah penyokong kuat bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting. Bagi saya ia lebih kepada kompromi antara bekas presiden dan presiden sekarang," tambahnya.

Bagaimanapun beberapa anggota parti berpendapat bahawa adalah perkara biasa bagi Tee Keat untuk memilih Wong memandangkan kedua-dua mereka memang diketahui ramai cukup akrab selepas mereka 'disisihkan' semasa Tun Dr Ling Liong Sik menjadi presiden parti.

"Tambahan pula kedua-dua mereka adalah Hainan. Bagi saya Tee Keat pasti memerlukan seseorang yang boleh dipercayainya untuk memegang jawatan utama," katanya.

Biar apa pun, kebanyakan pemimpin parti dan anggota bersetuju bahawa berdasarkan kepada pelantikan hari ini, pihak yang paling kurang diberi tempat adalah Dr Chua Soi Lek memandangkan tidak ada antara penyokongnya yang dipilih menjawat sebarang jawatan penting parti.

Chua sendiri, walaupun menjadi timbalan presiden parti, tidak dilantik menerajui manamana jawatankuasa perhubungan negeri, manakala dua naib presiden baru, Datuk Liow Tiong Lai dan Datuk Dr Ng Yen Yen dikekalkan masing-masing sebagai pengerusi MCA negeri Pulau Pinang dan Kelantan.

Seorang lagi naib presiden Datuk Kong Cho Ha dilantik sebagai pengerusi MCA Perak, menggantikan setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang kini adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang kalah kepada Dr Chua untuk jawatan timbalan presiden parti.

Pelantikan Kong sebagai pengerusi MCA Perak meningkatkan spekulasi bahawa timbalan menteri kewangan dan anggota Parlimen Lumut itu akan dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain